Lelaki warga asing diberkas, ceroboh rumah bawa pisau

Oleh FARDY BUNGGA
TAWAU: Seorang lelaki warga asing yang dikenalpasti menceroboh masuk ke sebuah rumah di Taman Berjaya, di sini, bulan lalu, berjaya ditahan.
Lelaki berusia 20-an itu berjaya ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Sungai Buaya, Batu 3, semalam.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, berdasarkan laporan diterima, kejadian berlaku pada 3 November lalu apabila penggera keselamatan rumah mangsa berusia 34 tahun itu berbunyi.
Katanya, hasil siasatan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan seorang lelaki memasuki perkarangan kediamanya melalui pagar belakang.
“Dalam rakaman berkenaan, suspek yang dilihat menuju ke bahagian hadapan rumah terkejut selepas pemilik rumah menegurnya melalui sistem suara kamera (CCTV).
“Suspek yang panik terus bertindak memanjat pagar sebelum melarikan diri ke kawasan rumah jiran,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, bertindak atas maklumat dan risikan, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya memberkas suspek kira-kira jam 2.50 petang di Kampung Sungai Buaya, Batu 3, Jalan Apas.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis menemukan sebilah pisau sepanjang lebih kurang 22 sentimeter yang disembunyikan pada badan lelaki tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1957 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. Suspek kini direman untuk siasatan lanjut,” katanya.

Lelaki terbabit ditahan pasukan polis yang melancarkan operasi memburu suspek.

Pisau milik suspek dirampas untuk membantu siasatan lanjut.