Oleh FARDY BUNGGA
KOTA KINABALU: Projek Lebuh Raya Pan Borneo (LPB) Sabah Fasa 1A melibatkan jajaran sepanjang 318 kilometer sedang giat dilaksanakan di tapak dengan status kemajuan terkini sebanyak 86.53 peratus.
Sehingga kini, sebanyak empat pakej kerja daripada keseluruhan 16 pakej kerja telahpun berjaya disiapkan dan dibuka untuk pengguna jalan raya.
Manakala bagi LPB Sabah Fasa 1B yang melibatkan jajaran sepanjang 388 kilometer juga sedang dilaksanakan mengikut perancangan dengan mencatatkan kemajuan fizikal pada tahap 12.27 peratus.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, terdapat beberapa masalah yang dikenal pasti termasuk kekurangan bahan binaan seperti pembekalan bitumen.
Bagaimanapun katanya, perkara berkenaan sudah diselesaikan dan masalah besar lain adalah isu-isu pengambilan balik tanah serta kerja-kerja pengalihan utiliti.
“Hari ini, kami bermesyuarat bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan kelancaran pelaksanaan projek Pan Borneo di Sabah.
“Kita tumpukan fokus kepada apa masalah dan apa solusi yang kita boleh rundingkan bersama supaya kita selesaikan masalah bagi memastikan pembinaan berjalan lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas diberikan taklimat di Kampung Ketiau, Putatan, di sini.
Alexander berkata, bagi masalah lain adalah dengan syarikat pengurusan di mana pihak kementerian memberi nasihat agar mereka meningkatkan dan memperhalusi segala masalah yang dihadapi.
“Memang ada masalah besar lain seperti isu pembekalan bitumen yang baru-baru ini tiada bekalan namun ia telah diselesaikan dan kerja-kerja pembinaan diteruskan,” katanya.

PENERANGAN … Alexander diberi penerangan mengenai kemajuan pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo di Kampung Ketiau, Putatan.








