KOTA KINABALU: UMNO yakin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada pilihan raya kecil akan datang, susulan sokongan akar umbi yang semakin kukuh di kawasan berkenaan.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata keyakinan itu bersandarkan kedudukan Kinabatangan yang sekian lama dikenali sebagai kubu kuat Barisan Nasional (BN), selain penglibatan berterusan jentera parti di peringkat akar umbi, khususnya di Lamag.
Beliau berkata UMNO Sabah dan BN menerima keputusan Pilihan Raya Negeri Sabah ke-17 dengan penuh rendah hati dan rasa tanggungjawab, serta akan terus memainkan peranan konstruktif dalam Kerajaan Perpaduan Negeri Sabah.
“Kami akan terus bekerjasama dengan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan bagi memastikan agenda pembangunan Sabah berjalan lancar dan tidak terganggu,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Sabah di sini, Rabu.
Menurut Jafry, keutamaan parti bukan sahaja menjamin kestabilan politik, malah memastikan pembangunan negeri dilaksanakan secara adil dan inklusif, dengan kebajikan rakyat sebagai fokus utama.
Dalam pada itu, beliau turut memberi penghormatan kepada Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, menyifatkan bekas Ketua UMNO Sabah itu sebagai pemimpin berprinsip yang tidak pernah goyah mempertahankan parti ketika berdepan cabaran.
“Pemergian beliau merupakan satu kehilangan besar kepada UMNO Sabah dan rakyat negeri ini. Kami mendoakan agar Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya serta memberikan kekuatan kepada ahli keluarganya,” katanya.
Menyentuh hala tuju parti di bawah kepimpinan baharu, Jafry berkata UMNO Sabah akan meneruskan mandat dan perjuangan yang telah dibina, di samping memperkukuh pendekatan lebih inklusif dan berpaksikan masa depan demi kepentingan rakyat Sabah.
Beliau berkata parti itu juga terbuka untuk menampilkan muka baharu bagi memperkukuh barisan kepimpinan di peringkat negeri.
Mengenai persiapan menghadapi pilihan raya kecil, Jafry berkata kira-kira empat calon berpotensi telah dikenal pasti bagi kerusi DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan hasil rundingan dengan pimpinan bahagian serta akar umbi.
“Kami mempunyai sekitar empat nama pada peringkat ini dan perbincangan sedang dijalankan bagi memastikan calon paling sesuai dipilih,” katanya.
Menurut beliau, UMNO Sabah tidak berhasrat meletakkan individu sama bagi kedua-dua kerusi berkenaan, sebaliknya mengutamakan calon berasingan bagi menjamin perwakilan yang lebih berkesan.
“Kami tidak mahu seorang individu memegang dua jawatan,” katanya.
Jafry berkata UMNO Sabah akan terus mempergiatkan libat urus bersama pengundi di lapangan serta memperhalusi strategi parti menjelang pilihan raya kecil, sambil menyatakan keyakinan bahawa mesej kestabilan dan pembangunan yang dibawa UMNO akan mendapat sokongan pengundi.-JT

SIDANG MEDIA …. Jafry (tengah) diiringi Ketua Wanita UMNO Sabah, Datuk Noraini Idris, bersama barisan pemimpin UMNO Sabah pada sidang media di Ibu Pejabat UMNO Sabah, Karamunsing, Kota Kinabalu.






