SMJ Energy bayar dividen RM50 juta kepada Kerajaan Sabah

Oleh Wu Vuide

KOTA KINABALU: SMJ Energy Sdn Bhd mengisytiharkan dan membayar dividen berjumlah RM50 juta kepada Kerajaan Negeri Sabah bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, sekali gus mengukuhkan peranan syarikat itu dalam menyumbang kepada prestasi fiskal negeri yang dipacu sektor minyak dan gas.

Bayaran terbaharu itu menjadikan jumlah keseluruhan dividen yang dibayar kepada kerajaan negeri mencecah RM160 juta sejak 2023, iaitu lebih tiga kali ganda daripada pelaburan permulaan RM50 juta yang disuntik oleh Sabah ke dalam syarikat tersebut dalam tempoh hanya tiga tahun.

Dengan keuntungan selepas cukai yang diaudit sebanyak RM307 juta serta aset kumpulan mencecah RM4.9 bilion pada 2024, SMJ Energy terus memperkukuh portfolio strategiknya merangkumi sektor huluan, gas asli cecair (LNG) dan petrokimia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Dionysia Kibat berkata, prestasi syarikat didorong oleh operasi yang kukuh serta pengurusan kewangan yang berhemah.

“Kami berbangga menutup tahun 2025 dengan kedudukan yang kukuh. Dividen ini mencerminkan aliran tunai yang mantap serta komitmen kami untuk memastikan Sabah memperoleh manfaat bermakna daripada sumbernya sendiri,” katanya.

SMJ Energy yang diberi penarafan AAA oleh RAM Ratings, secara konsisten mencatat pulangan kewangan yang kukuh di samping mengembangkan jejak strategiknya merentasi rantaian nilai tenaga.

SAKSIKAN …. Hajiji (tiga dari kiri) bersama dua menteri Kabinet menyaksikan penyerahan cek kepada SMJ Energy.