Empat motosikal disita dalam Op Samseng Jalanan

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA BELUD: Empat motosikal berjaya disita dalam operasi yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud di Jalan Pan Borneo berhampiran Pantai Emas, di sini, semalam.
Dalam operasi yang dilaksanakan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) itu turut mengeluarkan 23 saman atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, operasi Op Motosikal (Samseng Jalanan) itu dilaksanakan berikutan aduan orang ramai dan risikan berhubung aktiviti samseng jalanan.
Katanya, ia bagi mengesan pesalah lalulintas selain menunjukkan kehadiran polis Omnipresence dalam usaha mencegah jenayah di sekitar pentadbiran IPD Kota Belud khususnya. 
“Hasil pemeriksaan, polis mengeluarkan sebanyak 23 keping saman atas pelbagai kesalahan dan pengubahsuaian motosikal. 
“Selain itu, pasukan operasi turut menyita empat motosikal mengikut Seksyen 60 (1) APJ 1987 dan dibawa ke IPD Kota Belud untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, operasi seumpama ini adalah sebagai peringatan kepada masyarakat agar terus mematuhi undang-undang dan peraturan laluintas.
Katanya, ia juga bagi mengurangkan kadar kemalangan jalan raya serta mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.
“Pihak polis menasihati masyarakat agar mengutamakan keselamatan diri di jalan raya dengan slogan ‘Sayangi diri, keluarga dan masyarakat’,” katanya.

DISITA … Empat motosikal yang berjaya disita dalam operasi berkenaan.

OPERASI …. Operasi dilaksanakan berikutan aduan orang ramai dan risikan berhubung aktiviti samseng jalanan.