Mohd Ismail calon PRK DUN Lamag, Mohd Naim Parlimen Kinabatangan

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah mengesahkan Mohd Ismail Haji Ayob sebagai calon parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, manakala Mohd Naim Kurniawan Moktar dinamakan sebagai calon Parlimen Kinabatangan.
Pengumuman itu dibuat Pengerusi BN Sabah, Datuk Jafry Ariffin, pada majlis pengenalan calon yang berlangsung di Bangunan UMNO Sabah di sini, Selasa.
Menurut Jafry, pemilihan kedua-dua calon dibuat berasaskan keperluan untuk menstabilkan iklim politik pasca pilihan raya, di samping memastikan kesinambungan agenda pembangunan demi kepentingan rakyat.
Mohd Ismail sebelum ini bertanding sebagai calon bebas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dan memperoleh 3,755 undi, tewas tipis dengan majoriti 153 undi kepada Allahyarham Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin di kerusi DUN Lamag.
Bung Moktar yang memenangi kerusi itu dengan 3,908 undi bagaimanapun meninggal dunia pada 5 Disember 2025, kira-kira seminggu selepas pilihan raya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh pengundian PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag pada 24 Januari depan, dengan hari penamaan calon pada 10 Januari dan pengundian awal pada 20 Januari.
Majlis pengumuman calon BN itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub; Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Salleh Said; Setiausaha UMNO Sabah, Samasuddin Yusop serta Ketua MCA Sabah, Datuk Teah Heok Kuin.
Jafry berkata, BN Sabah peka terhadap dinamika politik semasa yang melibatkan kedua-dua kawasan berkenaan dan menegaskan bahawa perkembangan tersebut perlu diurus dengan kematangan politik, kebijaksanaan strategik serta pendekatan berhemah yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai keutamaan.
Katanya, dalam landskap politik yang semakin mencabar dan dipengaruhi perubahan sentimen serta pelbagai saluran pengaruh, khususnya dalam kalangan pengundi muda, BN Sabah melihat keperluan memperkukuh kepimpinan pelapis dan membina naratif politik yang inklusif serta menyatukan.
“Dalam konteks ini, BN Sabah melihat Mohd Naim Kurniawan Moktar, Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan, sebagai pemimpin muda yang memenuhi keperluan kepimpinan masa hadapan, berdasarkan legitimasi organisasi, penerimaan akar umbi serta keupayaan menterjemahkan aspirasi rakyat di peringkat lapangan,” katanya.
Mengulas pencalonan bagi DUN Lamag, Jafry berkata BN Sabah memilih pendekatan calon perpaduan memandangkan PRN Sabah baru sahaja berakhir.
Pendekatan itu, katanya, selari dengan prinsip tadbir urus politik yang menekankan pengurangan konflik, pembinaan konsensus serta kestabilan sebagai asas kepada pentadbiran dan pembangunan jangka panjang negeri.
“Berteraskan pertimbangan tersebut, BN Sabah mencalonkan Mohd Ismail Haji Ayob sebagai calon perpaduan melalui kapasiti keahlian terus (direct membership) Barisan Nasional,” katanya.
Beliau berkata, pencalonan itu merupakan strategi politik berasaskan institusi bagi memperkukuh kerjasama menyeluruh, merapatkan jurang politik serta memastikan agenda pembangunan rakyat dapat diteruskan tanpa gangguan ketidaktentuan politik.
Menurutnya, pengukuhan kedudukan BN di Kinabatangan bukan sekadar persaingan pilihan raya, sebaliknya satu keperluan strategik demi kestabilan politik negeri dan kesejahteraan rakyat, selaras dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang mengutamakan kemakmuran, kerjasama dan tadbir urus berasaskan konsensus.
Sehubungan itu, Jafry merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas panduan dan kepimpinan dalam memperkukuh kerjasama politik serta kestabilan negara.
Penghargaan yang sama turut dizahirkan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, atas komitmen berterusan beliau dalam memastikan keharmonian politik dan kelangsungan pentadbiran negeri.
Beliau menegaskan bahawa BN Sabah menghormati kepelbagaian pandangan semua pihak dan berpendirian bahawa perbezaan pendapat merupakan lumrah dalam demokrasi, namun perlu diurus secara matang, berinstitusi dan bertanggungjawab demi menjaga kepentingan rakyat serta kestabilan negeri.
“BN Sabah juga merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera akar umbi atas komitmen, disiplin dan semangat kebersamaan dalam memastikan keharmonian sosial serta kemajuan Sabah terus terpelihara,” katanya.

RADU …. Mohd Naim (dua dari kiri) dan Mohd Ismail (dua dari kanan) diapit Jafry Ariffin (tengah), Mohd Hasnol Ayub (kiri) dan Samasuddin Yusop (kanan).