Penunggang motosikal maut rempuh belakang lori

KOTA KINABALU: Seorang penunggang motosikal maut selepas dipercayai gagal mengelak sebuah lori yang membuat pusingan U dalam kejadian di Jalan Lintas, berhampiran Metro Town, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam itu, mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kemalangan melibatkan sebuah lori jenis Nissan dan motosikal Honda Wave.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, pemandu lori yang bergerak menuju ke arah bandar dikatakan membuat pusingan-U di lokasi kejadian.
“Ketika membuat pusingan U, penunggang motosikal yang berada di lorong kiri melanggar lori dari belakang.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian pada jam 8.29 malam oleh Pegawai Perubatan dari Hospital Queen Elizabeth II,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, pihak polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan menahan kedua-dua kenderaan untuk pemeriksaan lanjut oleh Puspakom.
Katanya, mayat mangsa sudah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk proses bedah siasat.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, Kasim meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan.
Katanya, sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529 222.

MAUT …. Penunggang motosikal disahkan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.