27 tan ayam sejuk beku tanpa permit berjaya dirampas

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Sebanyak 27 tan ayam sejuk beku tanpa permit berjaya dirampas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dalam operasi di Pelabuhan Sepanggar dan Inanam Laut, di sini, baru-baru ini.
Pengarah DVS Sabah, Dr Zul Bahar, berkata operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan hasil risikan itu membawa kepada rampasan sejumlah besar produk ayam sejuk beku tanpa permit import yang sah.
Katanya, operasi yang diketuai DVS Wilayah Kota Kinabalu ini melibatkan pemeriksaan sebuah kontena 40 kaki di Pelabuhan Sepanggar sebelum tindakan susulan diambil di sebuah premis bilik sejuk di Inanam Laut.
“Pemeriksaan mendapati pemilik gagal mengemukakan sebarang permit atau lesen import yang dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).
“Susulan itu, tindakan sitaan telah diambil ke atas 27,000 kilogram produk paha ayam sejuk beku dengan nilai anggaran RM268,410,” katanya dalam kenyataan media, kelmarin.
Menurutnya, tindakan itu dilaksanakan selaras dengan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa
Sehubungan itu, Zul berkata, operasi berkenaan dilaksanakan secara terancang dan berperingkat dengan kerjasama erat antaranya Unit Penguatkuasaan DVS Wilayah Kota Kinabalu, Unit Pemeriksa Veterinar serta Unit Kuarantin DVS KKIA/Kargo.
Katanya, ia selaras dengan komitmen berterusan DVS Sabah dalam memperkukuh keselamatan makanan dan biosekuriti negeri.
“Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia atas kerjasama erat dan sokongan padu yang diberikan.
“Sinergi antara agensi inilah yang membolehkan tindakan penguatkuasaan dilaksanakan dengan berkesan dan berintegriti,” katanya
Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan DVS Sabah atas kejayaan operasi tersebut.
“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah atas tindakan pantas, berkesan dan profesional dalam melindungi keselamatan makanan serta kepentingan rakyat Sabah.
“Kerajaan Negeri memandang serius sebarang cubaan membawa masuk produk makanan tanpa kelulusan yang sah kerana ia boleh menjejaskan kesihatan awam, biosekuriti serta kepercayaan rakyat terhadap sistem kawalan makanan negara.
“Operasi ini jelas membuktikan ketegasan dan komitmen berterusan Sabah dalam memastikan hanya produk yang mematuhi piawaian dan undang-undang dibenarkan berada di pasaran,” katanya.

PERIKSA …. Unit penguatkuasa telah memeriksa isi kandungan di dalam kotak dan mendapati paha ayam sejuk beku.