Oleh JOHN TAMBANAN
BEAUFORT: Dalam usaha memperkukuh ikatan ukhuwah dan kebersamaan komuniti, Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sipitang dengan kerjasama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Lumadan menganjurkan majlis berbuka puasa serta penyerahan sumbangan kepada masjid dan surau di DUN Lumadan, Mukim Gadong, pada Sabtu.
Sebanyak 75 masjid dan surau di sekitar DUN Lumadan menerima sumbangan tunai daripada Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah, bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Hj Ruslan Muharam.
Pada majlis sama, Matbali yang juga Pengerusi Pengelola Lembaga Koko Malaysia (LKM) turut merasmikan Dewan Terbuka Masjid Mukim Gadong yang dinamakan sebagai Dewan Terbuka Al-Ukhuwah Mukim Gadong.
Kira-kira 500 penduduk menghadiri program yang bermula seawal jam 4 petang itu. Sebelum berbuka puasa, Pegawai Hal Ehwal Islam, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEANS) Kota Kinabalu, Mohd Ridzuan Kaplin, menyampaikan tazkirah Ramadan.
Ketika ditemui, Matbali berkata sumbangan berkenaan merupakan tanda keprihatinan serta sokongan kepada institusi masjid dan surau sempena Ramadan Al-Mubarak.
“Saya bersama ADUN Lumadan menyampaikan sumbangan kepada 34 masjid dan 40 surau dalam bulan Ramadan ini. Ini adalah manifestasi kebersamaan dan tanda penghargaan kami kepada pengurusan masjid serta surau,” katanya.
Mengenai pembinaan Dewan Terbuka Al-Ukhuwah, beliau memaklumkan projek bernilai RM250,000 itu diluluskan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, tahun lalu.
Terdahulu dalam ucapannya, Matbali menyeru rakyat agar terus memperkukuh persaudaraan dan perpaduan demi memastikan agenda pembangunan dapat dilaksanakan dengan lancar. Beliau turut memuji komitmen penduduk Mukim Gadong yang menjayakan program tersebut.
Menurutnya, program menyantuni rakyat di peringkat akar umbi akan terus diperkasa, termasuk di DUN Sindumin yang turut berada dalam Parlimen Sipitang.
Sementara itu, Ruslan yang juga Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan mengajak umat Islam merebut keberkatan Ramadan dengan memperkukuh silaturahim serta mengimarahkan masjid dan surau.
“Kita harap kesatuan dan perpaduan rakyat terus diperkukuh,” katanya sambil merakamkan penghargaan kepada pengundi Lumadan atas sokongan dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah yang lalu.

RAMADAN: Matbali dan Ruslan menyerahkan sumbangan kepada wakil masjid dan surau di DUN Lumadan sempena majlis berbuka puasa di Mukim Gadong.





