KOTA KINABALU: Seramai 61 anak yatim dan golongan asnaf diraikan dalam Majlis Berbuka Puasa anjuran Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) yang berlangsung di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Selasa.
Majlis berkenaan menghimpunkan kanak-kanak daripada beberapa institusi kebajikan, sekali gus memberi peluang kepada mereka berinteraksi bersama pemimpin masyarakat serta merasai kemeriahan dan semangat kebersamaan sepanjang Ramadan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, usaha menyantuni anak yatim dan golongan rentan tidak seharusnya bersifat bermusim atau tertumpu pada acara tertentu sahaja.
“Kita tidak boleh hanya mengingati anak-anak ini pada bulan tertentu. Mereka adalah sebahagian daripada komuniti kita dan berhak menerima perhatian, sokongan serta peluang berterusan untuk membina masa depan yang lebih baik,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut.
Menurut beliau, pelbagai inisiatif sedang dilaksanakan di Sabah bagi membantu golongan rentan, termasuk anak yatim dan mereka yang memerlukan, sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkukuh jaringan keselamatan sosial.
“Saya percaya di Sabah, golongan ini tidak dipinggirkan kerana banyak program telah dan sedang dilaksanakan bagi memastikan kebajikan mereka terus terbela,” katanya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan masih terdapat ruang untuk memperluaskan serta memperkukuh program yang memberi manfaat kepada kanak-kanak memerlukan.
“Walaupun pelbagai inisiatif telah digerakkan, masih ada ruang untuk menambah baik dan memperluaskan program yang mendekati golongan ini, termasuk pelajar di madrasah, agar mereka terus menerima bimbingan, sokongan dan galakan secara menyeluruh,” tambahnya.
Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA), Haslina Ismail serta Ketua Pegawai Eksekutif SICC, Datuk Rosmawati Lasuki.-JT

DUIT RAYA …. Julita menyampaikan duit raya kepada anak-anak yatim semasa majlis berbuka puasa.



