Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Cadangan pembentukan Borneo Bloc tidak seharusnya ditafsir sebagai usaha mendominasi Semenanjung, sebaliknya merupakan pendekatan politik yang sah dan matang bagi memperkukuh keseimbangan dalam kerangka Persekutuan, kata Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Menurut beliau, gagasan tersebut bertujuan menyelaraskan suara Sabah dan Sarawak secara lebih tersusun di Parlimen dalam memperjuangkan kepentingan rakyat Borneo.
Mengulas kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim, yang mendakwa cadangan itu sebagai usaha memperkukuh kawalan politik di peringkat Persekutuan, Nizam berkata pandangan tersebut wajar dilihat dalam konteks sejarah serta semangat pembentukan Malaysia.
“Dalam sistem Persekutuan yang sihat, kerjasama antara wilayah untuk memperkukuh kedudukan rundingan adalah sesuatu yang lazim dan tidak harus dipandang negatif,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menegaskan bahawa asas pembentukan Malaysia pada tahun 1963 berteraskan prinsip perkongsian antara wilayah.
Walaupun Sabah dan Sarawak ketika itu berada di bawah pentadbiran British, penyertaan kedua-duanya dalam Persekutuan Malaysia dibuat melalui rundingan yang jelas serta disertai jaminan perlindungan bagi memelihara identiti, autonomi pentadbiran dan kepentingan rakyat tempatan.
“Jaminan tersebut termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menjadi asas kepada pembentukan negara,” katanya.
Nizam yang juga Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif berkata, perkara seperti kuasa imigresen, isu hasil petroleum, tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan serta pelaksanaan MA63 bukanlah keistimewaan berlebihan.
“Semua ini merupakan komitmen asal yang dipersetujui semasa pembentukan Malaysia. Maka usaha berterusan untuk menuntut serta memperkukuh pelaksanaannya adalah selaras dengan semangat Persekutuan yang adil dan seimbang,” jelasnya.
Beliau turut berpandangan bahawa cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu dilihat dari sudut representasi yang lebih saksama.
“Dengan keluasan wilayah, kepelbagaian geografi serta keperluan pembangunan yang berbeza, adalah wajar suara rakyat di Sabah dan Sarawak diwakili secara lebih seimbang di Parlimen Malaysia.
“Pembentukan Borneo Bloc mencerminkan kematangan politik dalam kerangka Persekutuan. Ia bertujuan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua wilayah agar isu pembangunan, hak Perlembagaan dan kepentingan rakyat Borneo dapat diperjuangkan secara lebih teratur dan konstruktif.
“Malaysia dibina atas semangat kerjasama antara wilayah, bukan persaingan antara Semenanjung dan Borneo.
“Justeru, sebarang usaha memperkukuh keseimbangan dalam Persekutuan harus dilihat sebagai langkah memperkasakan negara secara keseluruhan,” katanya.

Nizam Titingan






