Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) Sabah menyambut baik serta menghargai penegasan terkini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung komitmen Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakan hak Sabah menerima 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang dikutip dari negeri ini.
Pengarah Strategi dan Komunikasi BN Sabah, Datuk Ir. Aziz Julkarnain, berkata kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan hak tersebut sebagai “muktamad” dan tidak boleh dipertikaikan memberi isyarat jelas serta meningkatkan keyakinan rakyat Sabah terhadap kesungguhan kerajaan.
“Selama berdekad-dekad, rakyat Sabah konsisten menyuarakan aspirasi agar hak-hak negeri seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dihormati dan dilaksanakan sepenuhnya.
“Penegasan bahawa Kerajaan Persekutuan tidak akan merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan hak 40 peratus ini merupakan satu perkembangan signifikan yang membuka ruang kepada penyelesaian secara konstruktif dan bermakna,” katanya.
Mengulas kekeliruan berhubung tindakan perundangan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC), Aziz menjelaskan bahawa langkah tersebut adalah sebahagian daripada proses undang-undang biasa yang bertujuan mendapatkan penjelasan terhadap beberapa aspek dalam penghakiman.
Menurutnya, tindakan itu bukan bertujuan mencabar atau mempertikaikan hak Sabah, sebaliknya hanya untuk memperincikan isu tertentu dalam alasan penghakiman, termasuk perkara yang menyentuh peranan tokoh-tokoh terdahulu dalam pembentukan negara dan pembangunan Sabah.
“Seperti yang dijelaskan sendiri oleh Perdana Menteri, tindakan ini bukan untuk menafikan hak Sabah terhadap geran khas 40 peratus, tetapi bagi memastikan ketepatan dan kejelasan dari sudut perundangan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pentingnya rakyat memahami bahawa komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap hak Sabah kekal utuh dan tidak berubah.
Aziz turut menyeru semua pemimpin di Sabah, tanpa mengira latar belakang politik, agar melihat perkembangan ini dengan semangat kebersamaan demi kepentingan negeri.
“Isu hak Sabah bukan isu kepartian, tetapi melibatkan masa depan negeri dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh. Kepentingan Sabah harus mengatasi perbezaan politik,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan penubuhan satu platform meja bulat melibatkan pemimpin negeri bagi membincangkan secara terperinci mekanisme teknikal pelaksanaan hak 40 peratus tersebut.
“Pendekatan kolektif yang matang dan konstruktif akan mempercepatkan pelaksanaan serta memastikan hak rakyat Sabah direalisasikan secara adil, telus dan bermaruah,” katanya.
Aziz menambah, BN Sabah akan terus memainkan peranan proaktif dalam memperkukuh kesatuan dalam kalangan pemimpin negeri bagi memastikan hasil yang menjadi hak Sabah dapat dikembalikan demi pembangunan dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.

AZIZ JULKARNAIN








