
Siri 9/10
UNDANG-UNDANG adat masyarakat peribumi Sabah merupakan warisan sosial. Warisan ini terbentuk melalui pengalaman sejarah, nilai budaya dan sistem kehidupan komuniti.
Namun demikian, dalam konteks pentadbiran moden, timbul keperluan mendesak untuk memperkukuhkan ’dokumentasi dan reformasi undang-undang adat’. Ini dilakukan agar sistem adat terus relevan serta berfungsi lebih sistematik dalam kerangka perundangan negeri.
Antara isu yang perlu didahulukan ialah ’keperluan kodifikasi dan dokumentasi adat’. Secara tradisional, banyak peraturan adat diwariskan melalui tradisi lisan dan amalan komuniti.
Walaupun pendekatan ini berkesan dalam masyarakat tradisional, kekurangan dokumentasi rasmi boleh menimbulkan ketidakseragaman dalam pentafsiran dan pelaksanaan adat di antara daerah yang berbeza.
Oleh itu, usaha kodifikasi, iaitu penyusunan adat dalam bentuk dokumen bertulis amat penting. Dokumentasi penting untuk memastikan konsistensi dalam pentadbiran Mahkamah Anak Negeri berlaku. Dokumentasi juga dapat memudahkan pemimpin adat dan pegawai kerajaan membuat rujukan (Salleh, 2014).
Dalam usaha ini, ’peranan institusi akademia dan penyelidikan’ amat signifikan. Universiti dan pusat penyelidikan boleh membantu mendokumentasikan adat. Usaha mendokumentasi boleh dijalankan melalui kajian etnografi, analisis undang-undang dan pengumpulan sumber sejarah komuniti tempatan.
Pendekatan akademik bukan sahaja memelihara pengetahuan tradisional, tetapi juga menyediakan asas ilmiah dalam membangun dasar berkaitan undang-undang adat di Sabah (Tongkul, 2002).
Selain itu, kerjasama antara penyelidik dan pemimpin adat dilakukan demi memastikan dokumentasi yang dihasilkan benar-benar mencerminkan amalan sebenar masyarakat.
Berdasarkan perkembangan semasa, terdapat juga keperluan untuk mempertimbangkan ’penambahbaikan terhadap ordinan berkaitan Mahkamah Anak Negeri’.
Antara cadangan yang sering diketengahkan ialah memperjelaskan bidang kuasa mahkamah adat, memperkukuh latihan kepada pemimpin adat dalam aspek perundangan. Langkah memperkenalkan garis panduan pentadbiran yang lebih jelas juga perlu dilakukan bagi meningkatkan keberkesanan sistem tersebut (Pugh-Kitingan, 2023).
Kesimpulannya, dokumentasi yang sistematik dan reformasi yang berterusan merupakan langkah penting untuk memastikan undang-undang adat Sabah terus dipelihara.
Sebagai warisan budaya, adat seharusnya berfungsi secara efektif dalam sistem keadilan masyarakat moden.
- Penulis adalah Pensyarah Kanan PPIB UMS dan Perunding Akademik MHEANS.







