Kerjasama Sabah–Ningxia berpotensi pacu ekonomi dan pertukaran ilmu

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kerjasama antara Sabah dan Ningxia berpotensi besar untuk diperkasakan, bukan sahaja dalam menjana peluang ekonomi, malah sebagai platform strategik bagi memperluas perkongsian ilmu dan jaringan antarabangsa.
Presiden Persatuan Persahabatan Malaysia-China Sabah, Dr. Oh Ei Sun, berkata kepelbagaian yang dihormati dan diraikan mampu menjadi kekuatan utama dalam merapatkan hubungan antara masyarakat kedua-dua wilayah.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Dialog Perniagaan sempena Program The 6th Belt and Road China-Malaysia yang berlangsung di Pusat Persidangan Ningxia Yuehai, baru-baru ini.
Menurutnya, meskipun Sabah dan Ningxia mempunyai perbezaan dari segi geografi serta iklim, kedua-duanya berkongsi keunikan warisan budaya yang kaya dan pelbagai, sekali gus membuka ruang luas untuk kerjasama dalam sektor pelancongan budaya.
“Trend pelancongan kini semakin beralih kepada pengalaman berasaskan budaya. Berbanding tarikan yang hanya menonjolkan keindahan landskap semula jadi, pelancong lebih tertarik kepada pengalaman autentik yang merangkumi kehidupan komuniti, budaya tradisional serta nilai keaslian.
“Dalam konteks ini, pengalaman Sabah boleh saling melengkapi dengan kekayaan sejarah dan budaya yang dimiliki Ningxia,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan beberapa inisiatif strategik termasuk pembangunan laluan pelancongan bersama merentas wilayah, pengukuhan pelancongan lestari berasaskan komuniti, serta peningkatan pertukaran dalam bidang seni dan budaya.
Selain itu, beliau turut mengesyorkan penganjuran festival makanan dan program pertukaran cef sebagai medium mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua wilayah.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa usaha memperkukuh hubungan budaya tidak seharusnya terhad kepada saluran rasmi semata-mata, sebaliknya perlu diperluas dengan melibatkan golongan belia, institusi pendidikan serta industri kreatif bagi membina hubungan yang lebih inklusif dan dinamik.

KENANGAN …. Dr. Oh (dua kiri) bersama tetamu kehormat semasa menghadiri persidangan berkenaan.