Pemandu terselamat kenderaan rempuh kereta api

Oleh FARDY BUNGGA
BEAUFORT: Seorang lelaki mengalami kecederaan selepas kenderaan dipandunya terbabit dalam insiden merempuh kereta api dalam kejadian di Batu 58, Jalan Loji Air, di sini, pagi kelmarin.
Dalam kejadian jam 10.45 pagi itu, mangsa yang memandu Isuzu D-Max dikatakan memasuki laluan landasan yang tidak dibenarkan.
Akibat tindakan itu, pacuan empat roda yang dipandu mangsa berusia 27 tahun terbabit merempuh bahagian tepi kiri kereta api.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, hasil siasatan awal, kereta api berkenaan sedang dalam perjalanan dari Tenom menuju ke Beaufort.
Katanya, siasatan juga mendapati kawasan laluan berkenaan tidak berpagar serta bukan laluan yang dibenarkan untuk kegunaan kenderaan awam melintas.
“Kereta api berkenaan membawa seramai 11 penumpang dan semua mereka dilaporkan selamat tanpa sebarang kecederaan.
“Akibat kejadian itu, kenderaan mengalami kerosakan di bahagian hadapan manakala kereta api pula mengalami kerosakan di bahagian tepi kiri hadapan termasuk tangki minyak dan bateri,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, pemandu pacuan empat roda dihantar ke Hospital Beaufort untuk pemeriksaan lanjut, manakala pemandu kereta api tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sehubungan itu, Wong menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan tidak melintas di landasan kereta api yang tidak dibenarkan.
“Gunakan hanya laluan yang disediakan oleh Jabatan Keretapi Negeri Sabah bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.

ROSAK …. Keadaan tepi kereta api yang rosak selepas dirempuh pacuan empat roda berkenaan.