Lembaran baharu melalui North Sabah EOR PSC

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri bersama Hibiscus Petroleum Berhad kini melangkah ke lembaran baharu melalui North Sabah EOR PSC.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, dengan Hibiscus sebagai pengendali, manakala SMJ Energy bersama PETRONAS Carigali sebagai rakan bukan pengendali. Pencapaian ini mencerminkan rekod kerjasama yang semakin kukuh, berteraskan kepercayaan dan matlamat bersama.
“Apa yang penting sekarang ialah bagaimana kita memastikan perkongsian ini benar-benar berfungsi di lapangan.
“Kerjasama ini memberi kita peluang untuk melakukan lebih banyak dalam memperkukuh kedudukan Sabah dalam sektor tenaga, mewujudkan peluang yang bermakna, serta memastikan pembangunan yang dilaksanakan diterjemahkan kepada manfaat sebenar untuk negeri dan rakyatnya,” katanya pada Majlis North Sabah EOR PSC New Partnership, di sini kelmarin.
Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, perkongsian seumpamanya akan lebih berjaya apabila wujud keterbukaan, saling menghormati serta kesediaan untuk mendengar dan menyesuaikan diri.
Katanya, inilah perkara-perkara yang akan membawa perbezaan dalam jangka masa panjang.
“Sebab itulah perjumpaan seperti ini amat penting. Ia memberi kita peluang untuk saling mengenali di luar suasana formal, membina keselesaan serta memperkukuh hubungan kerja yang akan menggerakkan usaha ini ke hadapan.
“Saya berharap program ini memberi peluang kepada semua untuk berhubung, bertukar idea dan mula membina semangat kerja berpasukan.
“Bagi pihak kerajaan negeri dan SMJ Energy, saya merakamkan penghargaan kepada setiap daripada anda atas komitmen, kerjasama, dan keyakinan terhadap apa yang mampu kita capai bersama,” katanya.

ALBUM: Masidi (tengah) bersama tetamu yang hadir pada majlis itu merakamkan gambar kenangan.