WOODFEST 2026 penting dalam memperkasa industri perkayuan hiliran

KOTA KINABALU: Penganjuran Wood Technology Festival 2026 (WOODFEST 2026) penting dalam usaha memartabatkan teknologi berasaskan kayu serta memperkasa industri perkayuan hiliran agar kekal kompetitif di peringkat global.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk James Ratib berkata, industri perkayuan yang menjadi nadi ekonomi Sabah perlu melakukan anjakan paradigma daripada kaedah tradisional kepada aplikasi teknologi moden.
Beliau menekankan bahawa integrasi teknologi mampu mengubah sumber alam semula jadi menjadi produk berkualiti tinggi yang mempunyai nilai komersial luar biasa.
“WOODFEST 2026 adalah medium penting untuk mempromosikan ekosistem industri kayu, khususnya industri perabot Bumiputera.
“Dengan penerapan teknologi terkini, saya yakin industri ini mampu berkembang pesat, memberi impak positif kepada ekonomi negeri, serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada Sabah,” katanya ketika merasmikan majlis itu, di sini baru-baru ini.
Katanya, di samping tumpuan terhadap industri, festival ini memberi penekanan kepada peranan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi penawaran program Diploma Teknologi Berasaskan Kayu oleh Politeknik Kota Kinabalu.
Katanya, usaha itu bermatlamat melahirkan tenaga kerja yang kompeten dari segi akademik serta memiliki kemahiran teknikal dan daya kreativiti tinggi bagi memenuhi tuntutan industri.
Beliau turut menaruh harapan agar para pelajar Politeknik Kinabalu (PKK) dapat mempersiapkan diri menjadi pakar dan ‘arkitek’ yang menerajui industri perkayuan negara pada masa hadapan.
Menurutnya, bimbingan daripada para pensyarah yang berdedikasi adalah kunci untuk melahirkan tenaga kerja mahir mahupun usahawan yang berjaya dalam bidang ini.
“Kejayaan program ini turut didorong oleh sinergi strategik antara institusi pendidikan seperti Politeknik Kota Kinabalu dengan pemain industri utama termasuk Sedafiat Sdn. Bhd.
“Kolaborasi ini memastikan kurikulum Pendidikan sentiasa relevan dan mampu merapatkan jurang antara dewan kuliah dengan alam pekerjaan sebenar,” katanya.

TINJAU …. James (dua kiri) meninjau pameran yang diadakan pada majlis itu.