Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Dua pemandu ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dalam operasi Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Penampang – Kota Kinabalu, di sini, awal pagi Ahad.
Operasi yang dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu turut berjaya mengesan dua individu tanpa lesen memandu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, dua pemandu ditahan mengikut Seksyen 45 A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000 serta hilang kelayakan lesen memandu selama dua Tahun.
“Sepanjang operasi berkenaan, seramai 65 pengguna jalan dan 60 kenderaan telah ditahan untuk diperiksa.
“Hasil pemeriksaan, pihak polis mengeluarkan 11 keping saman atas pelbagai kesalahan dan dua daripadanya tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan media.
Sammy berkata, operasi berkenaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengesan pengguna jalan raya yang disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak daripada memandu kenderaan semasa berada dalam keadaan mabuk.
“Tindakan sedemikian boleh mendatangkan risiko kemalangan selain membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
Sementara itu, Sammy berkata, operasi itu antara lain turut bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya agar sentiasa patuh kepada undang-undang dan peraturan lalulintas yang telah ditetapkan.

UJIAN PERNAFASAN …. Pemandu diarahkan menjalani ujian pernafasan bagi mengenalpasti tahap alkohol dalam badan.






