USIA garis enam keutamaan Pelan Strategik

Perkukuh agenda pendidikan dan dakwah – Sapawi

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kolej Kemahiran Islam Sabah bakal direalisasikan di Pusat Latihan Dakwah (PLD) Marasinsim, Kota Marudu dalam masa terdekat, sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa agenda pendidikan dan kemahiran Islam di negeri ini.
Yang Dipertua USIA, Datuk Haji Sapawi Haji Ahmad berkata, projek berkenaan merupakan hasil kerjasama dengan Institut Kemahiran Islam Darul Ridzuan (IKDAR) bagi melahirkan generasi muda lepasan tahfiz dan pondok yang berkemahiran serta berdaya saing.
Menurutnya, inisiatif itu adalah antara enam keutamaan yang digariskan dalam Pelan Strategik USIA sejak beliau menerajui kepimpinan pada Jun 2022, bagi memastikan hala tuju organisasi kekal dinamik dan progresif.
“Fokus utama adalah pembinaan modal insan, selaras usaha melahirkan generasi berilmu, berkemahiran dan berakhlak, sejajar dengan pembangunan ummah,” katanya pada Majlis Kesyukuran Aidilfitri 2026 di Menara USIA di sini, pada Sabtu.
Majlis turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Haji Ruslan Muharam.
Sapawi berkata, beberapa projek pembangunan USIA yang sebelum ini tertangguh kini kembali digerakkan, termasuk Projek Pembaikan Bangunan USIA di Bulatan Sembulan yang memasuki fasa kedua.
Pembangunan tanah USIA di Sembulan (tapak Asrama Toh Puan) pula berada pada peringkat kerja tanah dan piling, manakala Projek Plaza Sipadan di Semporna kini mencapai kemajuan sekitar 30 peratus dan dijangka siap menjelang 2027.
Beliau menambah, USIA terus memperkukuh kerjasama strategik dengan agensi agama dan NGO Islam bagi memperluas usaha dakwah, pendidikan dan kebajikan, selain kekal menyokong agenda kerajaan negeri.
Majlis tersebut turut menjadi platform memperkukuh silaturrahim, menghargai sumbangan rakan strategik serta memperteguh komitmen bersama memperkasa pembangunan ummah.

TAHNIAH …. Sapawi (dua dari kanan) mengiringi Mustapha menyampaikan hadiah cabutan bertuah kepada pemenang pada majlis tersebut.