LAHAD DATU: Satu tragedi jalan raya yang menggegarkan petang Sabtu meragut nyawa seorang wanita, manakala empat lagi mangsa cedera dalam kemalangan membabitkan lima kenderaan di Batu 8, Jalan Silam, di sini.
Dalam insiden kira-kira jam 4.30 petang itu, kemalangan melibatkan sebuah lori, jentera pengorek (excavator), dua kereta, masing-masing kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sedan serta sebuah motosikal.
Difahamkan, pertembungan berlaku antara kenderaan dari dua arah bertentangan, dengan jentera pengorek berada di kawasan pembinaan Projek Pan Borneo.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.55 petang sebelum seramai 11 anggota bersama tiga jentera dikerahkan ke lokasi.
“Pasukan tiba pada jam 5.16 petang dan mendapati kemalangan melibatkan beberapa kenderaan dari arah bertentangan. Excavator pula berada di kawasan pembinaan berhampiran,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kereta sedan terbabit dinaiki enam mangsa, namun empat daripadanya — seorang lelaki dewasa dan tiga kanak-kanak — telah dihantar ke hospital oleh orang awam sebelum ketibaan pasukan penyelamat.
“Dua lagi mangsa wanita dewasa ditemui di lokasi kejadian. Seorang disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala seorang lagi mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya.
Dalam pada itu, tiga lelaki yang menaiki MPV jenis Perodua Alza serta pemandu excavator dilaporkan selamat. Pemandu lori dan penunggang motosikal pula telah dibawa ke hospital lebih awal oleh orang awam.
Operasi menyelamat tertumpu kepada usaha menstabilkan mangsa serta memastikan keselamatan di lokasi kejadian, dengan kerjasama pihak polis dan KKM. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.29 petang.

NAHAS … Keadaan kereta sedan yang remuk teruk selepas terbabit dalam nahas berkenaan.




