Bentras ketirisan, penyeludupan, tingkat keselamatan

Penugasan statik KPDN, PDRM di stesen minyak sempadan, berisiko tinggi

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kerajaan memperkukuh strategi operasi bagi mengekang ketirisan dan penyeludupan bahan api apabila Mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 April lalu bersetuju memperluaskan penugasan statik anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) di stesen minyak, sebagai pelengkap kepada kehadiran penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, langkah itu merupakan intervensi bersasar bagi meningkatkan tahap pemantauan serta penguatkuasaan, susulan peningkatan risiko penyelewengan bekalan petrol dan diesel yang dipacu krisis tenaga global akibat konflik di Asia Barat.
Menurut beliau, sejak 20 Mac 2026, KPDN telah melaksanakan penempatan berkala penguat kuasa di stesen minyak sekitar kawasan sempadan di seluruh negara sebagai langkah mitigasi awal.
“Berdasarkan pembentangan laporan Jawatankuasa Tertinggi Penyelarasan Antara Agensi Penguatkuasaan bagi Membanteras Ketirisan dan Penyeludupan (JTPAP) dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN), terdapat keperluan mendesak untuk memperluaskan liputan pemantauan statik ke semua stesen minyak berhampiran sempadan serta kawasan berisiko tinggi,” katanya.
Beliau berkata, penglibatan PDRM amat penting bagi menangani kekangan sumber manusia KPDN, di samping memastikan pemantauan lebih komprehensif terhadap status bekalan dan harga barangan, khususnya dalam landskap ekonomi yang semakin mencabar.
Dalam masa sama, Armizan memaklumkan krisis tenaga global turut memberi kesan rantaian terhadap bekalan makanan dan barangan, terutama yang bergantung kepada import, sekali gus menuntut kesiapsiagaan penguatkuasaan yang lebih dinamik dan responsif.
Bagi pelaksanaan, beliau berkata fasa pertama yang berlangsung dari 20 Mac hingga 10 April 2026 melibatkan 87 stesen minyak, manakala fasa kedua yang bermula minggu hadapan akan menambah 70 lagi stesen dengan penglibatan anggota PDRM.
“Kita akan terus menilai risiko serta keperluan peluasan dari semasa ke semasa. Perbincangan juga telah diadakan bersama Menteri Dalam Negeri bagi mempertimbangkan penglibatan sukarelawan RELA untuk memperkukuh pemantauan statik ini,” katanya.
Langkah bersepadu ini dilihat sebagai pendekatan strategik kerajaan dalam memperkukuh keselamatan bekalan negara, sekali gus memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara dalam persekitaran ekonomi global yang tidak menentu.

Armizan