PPM rampas 6,230 liter minyak diesel yang cuba diseleweng

Oleh FARDY BUNGGA
PENAMPANG: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas 6,230 liter minyak diesel yang dipercayai cuba diseleweng dalam operasi serbuan di sebuah premis di Kampung Kibabaig, di sini, semalam.
Dalam operasi itu, pasukan operasi turut menahan lima lelaki tempatan yang dipercayai menjadi dalang aktiviti berkenaan.
Komander PPM Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abdul Rahman berkata, hasil serbuan, pihaknya menemui sebanyak 6,230 liter minyak diesel yang disimpan di premis berkenaan.
Katanya, pihaknya turut berjaya merampas sebuah lori tangki, pam elektrik serta peralatan yang digunakan dalam kegiatan penyelewengan berkenaan.
“Pasukan operasi berjaya menahan lima individu yang berada di premis berkenaan untuk membantu siasatan lanjut.
“Berdasarkan harga semasa, semua minyak diesel berkenaan dipercayai dibeli pada harga RM2.15 seliter,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, semua bahan bakar berkenaan dipercayai akan dijual semula ke pasaran industri pada harga kira-kira RM6.50 seliter dan menjadikan nilai keseluruhan sebanyak RM41,865.
“Aktiviti ini mengakibatkan ketirisan subsidi kerajaan yang dianggarkan sebanyak RM28,471 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Sehubungan itu, Ahmad Amri menegaskan, aktiviti penyelewengan minyak subsidi yang sepatutnya dinikmati rakyat memberi kesan negatif kepada negara.
Katanya, aktiviti berkenaan menjejaskan ekonomi dan hasil negara serta berpotensi mendorong kepada aktiviti jenayah terancang seperti penyeludupan.
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti penyelewengan demi memastikan kesejahteraan serta keselamatan negara sentiasa terpelihara,” katanya.

DITAHAN …. Lima individu ditahan bersama beberapa peralatan termasuk tangki minyak dan kenderaan.