Mindet, KPDN perkukuh perlindungan harta intelek di Sabah

Oleh Wu Vuide

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (Mindet) memuktamadkan kolaborasi strategik bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam usaha memperkasa perlindungan harta intelek (IP) dalam kalangan usahawan dan komuniti di Sabah.
Menterinya, Datuk Ewon Benedick, berkata sinergi ini merupakan pemacu kritikal bagi memastikan pendaftaran IP menjadi komponen teras dalam landskap pembangunan sektor perindustrian dan keusahawanan, termasuk perusahaan sosial berasaskan komuniti di negeri itu.
“Kolaborasi ini akan dimulakan dengan penyertaan pegawai Mindet dan agensinya dalam program latihan khusus di Akademi Harta Intelek, diikuti pelaksanaan program kesedaran mengenai kepentingan perlindungan IP dalam kalangan usahawan Sabah.
“Kursus ini penting bagi memperkukuh kefahaman terhadap Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), sekali gus membolehkan pegawai memberi nasihat yang tepat kepada usahawan berkaitan pendaftaran dan perlindungan IP.
“Saya juga akan meneliti cadangan penubuhan unit IP khusus di bawah Mindet bagi menyelaras inisiatif berkaitan secara lebih strategik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, di sini.
Dalam perkembangan berkaitan, Ewon turut mengadakan lawatan ke Akademi Harta Intelek MyIPO serta mengadakan perbincangan bersama Ketua Pengarahnya, Yusnieza Syarmila Yusoff, berhubung pelaksanaan program latihan khusus untuk pegawai dan agensi Mindet.
Menurutnya, setiap produk keusahawanan yang dibangunkan di Sabah—sama ada dalam sektor industri dan inovasi, makanan dan minuman mahupun perusahaan sosial—wajar disokong dengan pendaftaran IP.
“Ini menuntut pendedahan dan latihan khusus kepada pegawai kementerian dan agensi di Sabah, selari dengan pelaksanaan program kesedaran yang melibatkan usahawan serta komuniti.
“Saya menghargai kesiapsiagaan dan komitmen MyIPO dalam merealisasikan kolaborasi ini,” katanya.
Berdasarkan taklimat MyIPO, sebanyak 3,941 permohonan IP diterima di Sabah bagi tempoh 2021 hingga Mac 2026, dengan 3,349 pendaftaran direkodkan setakat Disember 2025.
Sehingga kini, sebanyak 31 produk petunjuk geografi telah didaftarkan di Sabah, termasuk Amplang, Kopi Tenom, Belacan Papar, Teh Sabah, Piyutu Sandakan dan Liking Kota Belud. Daripada jumlah itu, enam produk didapati tidak aktif berikutan kegagalan memperbaharui pendaftaran.

PERTEMUAN …. Ewon (kanan) dan Armizan (tengah) ketika mengadakan pertemuan bersama seorang pegawai (kiri) di pejabat MyIPO.