Oleh JAMES LEONG
LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah terus memperkukuh gerak kerja operasi membanteras penyelewengan bahan api bersubsidi di Pantai Timur Sabah menerusi Op Tiris yang dilaksanakan pada 23 April.
Bertindak hasil risikan dan pemantauan rapi, sepasukan anggota PPM telah menjalankan pemeriksaan ke atas sebuah lori tangki jenis rigid yang membawa muatan diesel di Jalan Paris 3, laluan Lahad Datu–Kinabatangan selepas kenderaan tersebut didapati berada dalam keadaan mencurigakan.
Hasil pemeriksaan mendapati lori berkenaan tidak mempunyai sebarang pelekat sah daripada depot yang dibenarkan.
Tangki lori dianggarkan mengandungi kira-kira 10,000 liter diesel.
Pemandu lori, seorang lelaki tempatan, gagal mengemukakan sebarang dokumen penghantaran atau bukti sah berkaitan destinasi bahan api tersebut.
Susulan itu, pemandu berkenaan ditahan manakala lori bersama muatan diesel dirampas untuk siasatan lanjut.
Bahan api tersebut dipercayai cuba diseleweng dan diseludup ke negara jiran.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM51,200. Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
PPM menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras aktiviti penyelewengan dan penyeludupan bahan api bersubsidi, demi memastikan ketirisan dapat dibendung serta kepentingan negara terus terpelihara.

DITAHAN …. Lori tangki jenis rigid dan suspek yang ditahan di Pangkalan Polis Marin Lahad Datu pada Khamis.





