JIM serbu empat lokasi, tahan 19 PATI

Oleh FARDY BUNGGA


SIPITANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) berjaya menahan 19 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam serbuan di empat lokasi di sekitar daerah ini, semalam.
Semua PATI melibatkan warga Indonesia dan Filipina itu ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi penguatkuasaan yang dijalankan di empat lokasi berasingan itu berjaya menahan seramai 41 individu untuk pemeriksaan.
Katanya, hasil pemeriksaan lanjut, seramai 19 PATI yang dikenalpasti terdiri daripada warganegara Indonesia dan Filipina.
“Semua individu yang ditahan didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan yang sah atau pas yang sah.
“Semua PATI terbabit akan disiasat mengikut kesalahan masing-masing di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, kelmarin.
Menurutnya, JIM Sabah akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau pihak yang melindungi atau menggaji pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Orang ramai juga disarankan untuk bekerjasama menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran warga asing tanpa izin di kawasan mereka.
“Selain itu, tiada sebarang kompromi akan diberikan terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang, khususnya yang melibatkan isu keselamatan,” katanya.
SH Sitti Saleha berkata, pihaknya akan terus komited dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan terhadap PATI.

TAHAN …. Pasukan operasi menahan beberapa warga asing selepas didapati gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.