KOTA KINABALU: Penguasaan Bahasa Inggeris dikenal pasti sebagai antara faktor utama yang menentukan keupayaan belia Sabah untuk bersaing di peringkat global, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Datuk Dr Kasim Hj Mansur.
Beliau berkata program seperti English Week menjadi platform penting dalam melahirkan graduan yang yakin, berfikiran kritis dan mampu berkomunikasi dengan berkesan.
“Bahasa Inggeris bukan lagi sekadar subjek akademik, sebaliknya menjadi pintu kepada ilmu, inovasi dan peluang global,” katanya dalam teks ucapan yang disampaikan oleh Ketua Pustakawan UMS, Zawawi Datuk Hj Tiyunin.
Pada masa sama, beliau menegaskan kepentingan memastikan pelajar memanfaatkan penguasaan bahasa tersebut untuk menyumbang kepada pembangunan Sabah dan negara.
Program English Week 2026 yang berlangsung dari 20 hingga 24 April di Foyer U-Science berakhir hari ini dengan majlis penyampaian hadiah melibatkan pelajar universiti serta peserta sekolah menengah sekitar bandar ini.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, John Mark Storey berkata program berkenaan bertujuan menjadikan pembelajaran bahasa lebih interaktif dan relevan.
“Kami mahu menyediakan ruang kepada pelajar untuk mengekspresikan diri dengan yakin melalui persembahan, penceritaan dan kandungan digital,” katanya.
Beliau berkata penyertaan pelajar universiti dan sekolah menunjukkan minat terhadap Bahasa Inggeris kekal tinggi apabila pendekatan pembelajaran lebih kreatif dan bermakna.
Sepanjang program, pelbagai pertandingan dianjurkan termasuk Reading with Feeling, Sing-a-Song, Pitch It, Why I Read dan TikTok Challenge.
Turut hadir Timbalan Dekan PPIB Dr Budi Anto Hj Mohd Tamring dan Dr Daron Benjamin Loo serta Penyelaras Kluster Bahasa Inggeris Dr Anna Lyn.
Majlis diakhiri dengan sesi bergambar melibatkan semua pihak yang terlibat.-Oleh Henry Bating

ALBUM …. Zawawi dan Storey bergambar bersama peserta dan hakim selepas majlis penyampaian hadiah English Week.

Dari kiri: Storey, Budi, Zawawi dan Daron pada majlis penutup English Week.









