KOTA KINABALU: PETRONAS telah menyalurkan sumbangan sebagai sebahagian daripada usaha bantuan bencana kebakaran yang diselaraskan oleh agensi kerajaan, susulan kejadian kebakaran baru-baru ini di Kampung Bahagia, Sandakan yang mengakibatkan kemusnahan kediaman.
Pek bantuan tersebut, yang akan diagihkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dan Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), mengandungi air minuman, selimut, tuala mandi, barangan mandian, tuala wanita, peralatan dapur, tisu basah bayi, serta beg sampah.
Pengurus Besar Pejabat Wilayah PETRONAS Sabah dan Labuan, Datuk Siti Ayu Abdul Wahab menyerahkan sumbangan itu kepada Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri, Datuk Awang Shahminan Datuk Awang Sahari, yang juga Setiausaha JPBN, di depot Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) Sabah, pada Khamis.
Terdahulu, satu penyerahan simbolik telah diadakan bersama Presiden MPS, Datuk Walter Kenson, yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Operasi JPKA, Asnah Kasim.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan beban keluarga yang terkesan. PETRONAS akan terus bekerjasama rapat dengan agensi-agensi berkaitan bagi memastikan bantuan dapat disalurkan kepada mereka yang memerlukan,” kata Siti Ayu.
Tahun lepas, PETRONAS telah menyumbang kira-kira RM1.1 juta bagi menyokong usaha bantuan bencana di seluruh Sabah. Setakat tahun ini, PETRONAS telah menyumbang sebanyak RM398,000 kepada inisiatif berkenaan.- JT

SERAH …. Siti Ayu (tiga dari kiri) menyampaikan sumbangan secara simbolik kepada Walter.






