Edar syabu: Tiga termasuk dua penternak ayam ditahan

Oleh FARDY BUNGGA


SIPITANG: Tiga individu termasuk dua penternak ayam ditahan dalam operasi yang dijalankan di Kampung Tanjung Pagar, di sini, selepas dipercayai terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah jenis syabu, pada Sabtu.
Dalam operasi jam 4.15 pagi, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sipitang dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah berjaya merampas syabu seberat 77.9 gram bernilai kira-kira RM8,000.
Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suanda berkata, serbuan pertama berjaya menahan suspek berusia 39 tahun.
Katanya, hasil pemeriksaan berjaya menemui satu paket plastik mengandungi dua bungkusan berisi hablur jernih disyaki syabu.
“Susulan tangkapan itu, pasukan operasi berjaya menahan dua lagi lelaki berusia 29 dan 27 tahun dalam serbuan berasingan di lokasi sama.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya suspek pertama positif methamphetamine dan amphetamine manakala dua lagi didapati negatif,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, polis turut merampas sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux serta wang tunai berjumlah RM24,225 dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti pengedaran dadah.
Katanya, ketiga-tiga suspek kini direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(a) akta sama.
“Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesan rangkaian pengedaran dadah terbabit,” katanya.

SYABU …. Dadah seberat 77.9 gram yang berjaya dirampas daripada suspek.