Oleh FARDY BUNGGA
KOTA MARUDU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Marudu mengesahkan menerima dua laporan polis melibatkan kehilangan lapan ekor lembu melibatkan nilai RM40,000.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, kes pertama diterima pada 21 April lalu melibatkan kehilangan enam ekor lembu di Kampung Telaga, Pitas.
Katanya, semua lembu berkenaan dianggarkan bernilai kira-kira RM30,000 berdasarkan harga pasaran semasa.
“Kes kedua pula diterima hari ini melibatkan kehilangan dua ekor lembu di Kampung Tambilidon, Pitas, yang dianggarkan bernilai RM10,000.
“Pihak polis kini sedang giat menjalankan usaha mengesan dan menangkap suspek yang terlibat dalam aktiviti curi ternakan tersebut,” katanya dalam kenyataan media.
Simiun berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Sehubungan itu, Simiun menasihatkan penternak lembu agar sentiasa meningkatkan langkah keselamatan dan lebih berwaspada bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang.
“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian diminta untuk menyampaikan maklumat kepada pegawai penyiasat iaitu Inspektor Romio Wong ditalian 019-6851343 atau Inspektor M.Sathes di talian 017-9689231.
“Kerjasama dan maklumat daripada orang ramai amat dihargai bagi membantu siasatan pihak polis,”katanya.

RAKAMAN CCTV sejurus selepas kejadian mencuri haiwan ternakan berkenaan





