Oleh John Tambanan
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah mengeluarkan kawasan tanah daripada bekas konsesi Sabah Forest Industries Sdn. Bhd. (SFI) untuk tujuan pewartaan sebagai rizab perkampungan bagi manfaat rakyat.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Joniston Bangkuai berkata, secara khususnya, seluas 39,482 ekar (15,978 hektar) kawasan dalam Hutan Simpan Sipitang (Kelas II) telah dikeluarkan pada tahun 2025 bagi tujuan tanah rizab perkampungan untuk komuniti setempat.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Yusri Pungut (Warisan-Sindumin) pada sesi pertanyaan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Yusri bertanya adakah benar, Kerajaan Negeri telah mengeluarkan lebih kurang 40,000 ekar tanah daripada kawasan konsesi Sabah Forest Industri (SFI) untuk dijadikan warta rizab kampung bagi manfaat rakyat.
Joniston berkata, sebelum itu, pada tahun 2023, seluas 108.72 ekar (44 hektar) juga telah dikeluarkan bagi tujuan yang sama.
Dengan itu katanya, jumlah keseluruhan kawasan yang telah dikeluarkan adalah lebih kurang 39,590 ekar (16,022 hektar).
“Hasil penelitian oleh Jabatan Perhutanan Sabah, melalui sesi libat urus bersama pemimpin masyarakat, ketua-ketua komuniti serta penduduk kampung, beberapa kawasan hutan simpan yang dibubarkan adalah untuk memberi manfaat kepada penduduk kampung,” katanya.

Joniston






