KOTA KINABALU: Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) menaruh harapan agar pihak Kerajaan Negeri dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berlapang dada untuk menyalurkan bantuan kewangan bagi membantu merealisasikan impiannya menyediakan rumah tumpangan untuk kemudahan pesakit kanser dan pengiring.
Presiden PSKS Julianah Kurutung berkata, kemudahan tempat tinggal seumpama itu sangat diperlukan oleh pesakit kanser dan pengiring dari luar bandar atau daerah lain semasa menjalani rawatan.
“Selaku presiden persatuan ini, saya dan rakan-rakan dalam PSKS telah melihat ada keperluan bagi persatuan ini untuk memiliki sebuah rumah tumpangan.
“Inilah antara wawasan persatuan kami untuk membantu membela nasib pesakit kanser,” katanya dalam satu kenyataan.
Ke arah itu, Julianah menyeru pihak kerajaan, syarikat-syarikat korprat, NGO serta para dermawan supaya tampil menyumbang derma kewangan bagi menjayakan wawasan murni itu.
Menurutnya ramai pesakit kanser dan pengiring dari luar bandar yang sering datang untuk menerima rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah, Likas (HWKKS) (juga berfungsi hospital untuk pesakit kanser) dan hospital kerajaan di Kota Kinabalu.
“Sebab itu, kepentingan golongan ini wajar diberi perhatian demi kebaikan bersama,” katanya.
Pada 1 Januari 2023, Julianah berkata atas inisiatif pimpinan PSKS, persatuan itu berjaya menyewa sebuah rumah pesakit 5 bilik di kawasan perumahan King Fisher berdekatan HWKKS dengan kos sewa sebanyak RM2,000 sebulan dan kos penyelenggaraan RM3, 800 termasuk gaji pekerja dan utiliti.
“Jadi besarlah harapan saya jika ramai yang turut membantu dari segi kewangan, sekaligus memastikan niat suci murni persatuan untuk membeli rumah yang kini disewa ini akan menjadi realiti,” katanya.-Oleh John Tambanan.

Foto – Julianah





