Oleh JOHN TAMBANAN
DALIAN: Sabah berpotensi muncul sebagai hab pemasangan kenderaan komersial bagi wilayah Borneo menerusi kerjasama strategik antara pengeluar automotif China, Dongfeng Motor dan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC).
Inisiatif berimpak tinggi itu dijangka membuka kira-kira 1,000 peluang pekerjaan baharu sekali gus memperkukuh sektor perindustrian, logistik dan perdagangan negeri.
Kerjasama berkenaan melibatkan cadangan penubuhan kilang pemasangan kenderaan di Sabah yang bakal berfungsi sebagai hab strategik untuk memenuhi pasaran Sabah, Sarawak dan Indonesia.
Cadangan tersebut dibincangkan dalam sidang video antara pengurusan tertinggi Dongfeng Motor yang berpangkalan di Wuhan, China bersama delegasi Sabah di Dalian yang diketuai Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick.
Dalam sidang video itu, pihak pengurusan Dongfeng secara rasmi memohon sokongan serta kemudahan daripada Kerajaan Negeri bagi merealisasikan cadangan usaha sama kilang pemasangan bersama KTC di Sabah.
Ewon mengalu-alukan cadangan pelaburan berkenaan dan menyifatkannya selaras dengan agenda Kerajaan Negeri untuk memperkukuh pembangunan perindustrian serta memperluas aktiviti perdagangan dan logistik.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut mencadangkan Taman Perindustrian Kota Belud sebagai lokasi berpotensi bagi pembangunan kilang pemasangan tersebut.
“Kita mengalu-alukan pelaburan seperti ini kerana ia selari dengan usaha Sabah untuk memperkukuh pembangunan perindustrian, logistik dan perdagangan.
“Cadangan kilang pemasangan ini bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, malah membuka ruang pemindahan teknologi, latihan kemahiran dan pembangunan bakat dalam industri automotif,” katanya.
Turut hadir Ketua Pegawai Penyelaras Sekretariat Sabah Maju Jaya (SMJ), Datuk Rosmadi Sulai; Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Thomas Logijin; serta Pengerusi Lembaga Pelabuhan Sabah, Datuk Donald Peter Mojuntin.
Dongfeng Motor Import & Export Co Ltd pula diwakili Pengurus Besarnya, Yu Tao; Penolong Pengurus Besar, Zhang Yifan; Pengarah Wilayah Asia Pasifik, Cheng Xiao; dan Pengarah Jualan Pasaran Malaysia, Zhou Yexiong.
Sementara itu, Pengarah Urusan KTC, Dexter Lau berkata, syarikat berkenaan telah memperoleh pesanan pembelian bernilai RM30 juta daripada Dongfeng sebagai sebahagian daripada fasa awal kerjasama strategik tersebut.
Menurut beliau, Dongfeng yang merupakan antara pengeluar kenderaan terbesar di China menyasarkan untuk berada dalam kelompok tiga jenama utama sektor kenderaan komersial di Malaysia Timur dalam tempoh dua tahun.
“Sabah bakal memasuki fasa baharu pembangunan perindustrian yang memberi tumpuan kepada pemasangan trak ringan dan jentera berat bagi menyokong pertumbuhan ekosistem perniagaan dan logistik negeri.
“Ini juga bakal menjadi detik bersejarah bagi wilayah Borneo apabila Sabah berpotensi menjadi lokasi kilang pemasangan kenderaan pertama yang memberi perkhidmatan kepada seluruh pulau ini,” katanya.
Dexter berkata, operasi pelaburan dan pemasangan itu dijangka membuka sekitar 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dalam sektor operasi, teknikal dan pemasangan kenderaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa inisiatif tersebut selari dengan strategi ekonomi biru dan pembangunan sektor pembuatan Sabah menerusi pemanfaatan infrastruktur pelabuhan dan perkapalan negeri untuk tujuan eksport ke rantau ASEAN.
Terdahulu, wakil Dongfeng memaklumkan syarikat itu memilih KTC sebagai rakan strategik berdasarkan kekuatan korporat serta rangkaian logistik syarikat berkenaan yang luas di seluruh Malaysia.
Dongfeng turut menyatakan keyakinan bahawa dengan sokongan kerajaan Sabah dan kepakaran tempatan KTC, syarikat itu mampu muncul sebagai jenama kenderaan komersial China terkemuka di rantau ini dalam tempoh tiga tahun, selain berada dalam kelompok tiga pemain utama kenderaan komersial di Malaysia Timur.

Ewon (tengah) diiringi Rosmadi (dua kiri), Thomas (kanan), Donald (kiri) dan Dexter (dua kanan) ketika mengadakan sidang video bersama eksekutif Dongfeng Motor yang berpangkalan di Wuhan, China.







