Kukuhkan penglibatan syarikat tempatan dan Bumiputera Sabah dalam sektor minyak dan gas

KOTA KINABALU: Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai antara SAA Engineering & Marine Sdn. Bhd. dan SAAEM Sabah Sdn. Bhd., serta sesi penyerahan Letter of Intent (LOI) bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Cawangan Sabah dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkukuhkan penglibatan syarikat tempatan dan Bumiputera Sabah dalam sektor minyak dan gas yang semakin berkembang.
Pengarah Urusan SAAEM Sdn. Bhd., Haji Muhammad Nasruddin Salim berkata, MoU yang dimeterai menerusi Majlis Kolaborasi Strategik pada Sabtu itu menjadi titik penting dalam usaha kedua-dua pihak memperkukuh pembangunan industri serta membuka lebih banyak peluang kerjasama kepada vendor dan kontraktor tempatan Sabah dalam sektor berkenaan.
Menurut beliau, sesi penyerahan LOI bersama DPMM Sabah turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh jaringan kerjasama bersama komuniti usahawan tempatan selaras dengan aspirasi pembangunan ekonomi negeri.
“Kerjasama ini selari dengan usaha memperkukuh ekosistem keusahawanan Bumiputera serta memperluaskan peluang ekonomi kepada rakyat Sabah,” katanya.
Majlis yang berlangsung di Hyatt Regency Kota Kinabalu itu turut dihadiri Pengarah Urusan SAA Engineering & Marine Sdn. Bhd., Haji Mohammad Saufi Yusof; Yang Dipertua DPMM Cawangan Sabah, Datuk Haji M. Sapawae @ Sapawai M. Tussin; serta wakil DPMM Putrajaya, Mohd Dzahir Jamudin.
Muhammad Nasruddin berkata, Sabah mempunyai potensi besar dalam sektor tenaga dan petroleum memandangkan negeri itu merupakan antara pengeluar minyak utama negara.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa aspek paling penting ialah memastikan pembangunan industri tersebut dapat memberi manfaat secara langsung kepada ekonomi negeri, syarikat tempatan dan rakyat Sabah sendiri.
“Kerjasama yang dimeterai hari ini bukan hanya tertumpu kepada pembangunan perniagaan semata-mata, tetapi turut memberi penekanan kepada pembinaan ekosistem industri yang lebih inklusif, mampan dan berdaya saing.
“Ia melibatkan pembangunan kapasiti syarikat tempatan, pemerkasaan modal insan serta peningkatan penyertaan usahawan Bumiputera Sabah dalam rantaian nilai industri minyak dan gas,” katanya.
Beliau berkata, SAA Engineering & Marine Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Terengganu dan mempunyai pengalaman luas dalam industri minyak dan gas di Malaysia membawa bersama kepakaran teknikal serta pengalaman industri yang signifikan.
Katanya, pengalaman tersebut diyakini mampu membantu memperkukuh pembangunan industri minyak dan gas di Sabah melalui perkongsian ilmu, pembangunan teknikal, pemindahan teknologi serta peningkatan keupayaan syarikat tempatan agar lebih kompetitif dan berdaya saing.
Dalam pada itu, beliau berkata penubuhan SAAEM Sabah Sdn. Bhd. merupakan satu inisiatif tepat pada masanya bagi menyokong dasar pembangunan ekonomi negeri yang memberi penekanan kepada penglibatan lebih besar rakyat tempatan dalam sektor strategik.
“Kami mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan Sabah diberi peluang untuk berkembang, membina kapasiti dan menjadi sebahagian daripada pemain utama dalam industri ini,” katanya.
Muhammad Nasruddin turut berharap kerjasama bersama DPMM Sabah dapat menjadi platform penting dalam menghubungkan pemain industri, usahawan tempatan, institusi latihan serta pelabur strategik ke arah mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih progresif dan berimpak tinggi kepada pembangunan negeri.-Oleh JOHN TAMBANAN.

MOU …. Haji Muhammad Nasruddin (tiga kanan) dan Haji Mohammad Saufi (tiga kiri) bertukar dokumen MoU yang dimeterai bersama sambil disaksikan Datuk Haji M. Sapawae @ Sapawai M. Tussin, Mohd Dzahir Jamudin serta tetamu jemputan lain.