Oleh FARDY BUNGGA
KOTA MARUDU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum mangsa terjatuh ke bawah jambatan dalam kejadian di Jambatan Jalan Kampung Masin, Pitas, awal pagi, Khamis.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Beriuse Masikah, 41, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Simiun Lomudin berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian berkenaan pada jam 1.50 pagi.
Katanya, sepasukan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) terus dikejarkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.
“Hasil siasatan awal, mangsa yang memandu kereta Mitsubishi Mirage dipercayai sedang dalam perjalanan dari arah Kampung Kanibongan menuju ke Kampung Narandang, Pitas.
“Bagaimanapun, ketika melalui jalan lurus dan gelap di lokasi, kenderaan dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas di atas jambatan kayu.
“Mangsa dipercayai cuba keluar dari kenderaan namun terjatuh ke bawah jambatan,” katanya dalam kenyataan media kelmarin.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 2.45 pagi oleh pegawai perubatan Hospital Pitas yang turut hadir membantu di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Unit Forensik Hospital Pitas untuk proses bedah siasat,” katanya.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya

BANTU …. Pasukan bomba cuba mengangkat mangsa yang terjatuh di bawah jambatan.




