Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah menyambut baik sokongan berterusan Kerajaan Jepun terhadap golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di negeri ini menerusi sumbangan sebuah van Toyota Hiace mesra kerusi roda kepada Sabah Cheshire Home and Services.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Julita Majungki berkata, kenderaan khas itu disumbangkan melalui Program Bantuan Geran Projek Keselamatan Manusia Peringkat Akar Umbi (GGP) Jepun bagi meningkatkan mobiliti serta akses penghuni pusat berkenaan di Sandakan.
Menurut beliau, van berkenaan akan memudahkan golongan OKU mendapatkan perkhidmatan kesihatan, program pemulihan, pendidikan serta menyertai aktiviti komuniti dengan lebih selamat dan selesa.
Katanya, Sabah Cheshire Home and Services sebelum ini menggunakan van yang telah berusia lebih 25 tahun dan amat memerlukan penggantian segera.
“Sumbangan ini bukan sekadar mengenai pengangkutan, tetapi turut melambangkan maruah, kebebasan dan peluang untuk setiap individu mengambil bahagian secara penuh dalam masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis penyerahan rasmi van tersebut di Sabah Cheshire Home and Services, di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Julita memuji komitmen Sabah Cheshire Home and Services yang terus aktif membantu golongan OKU melalui penyediaan penjagaan kediaman, sokongan pendidikan, latihan kemahiran serta program kehidupan berdikari.
Beliau menegaskan Kerajaan Sabah kekal komited menyokong pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berteraskan kebajikan melalui kerjasama dengan Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
Katanya lagi, kementeriannya juga terbuka untuk meneroka kerjasama pada masa hadapan bersama Sabah Cheshire Home and Services bagi memperkukuh perkhidmatan kebajikan kepada golongan rentan termasuk warga emas dan OKU.

PENYERAHAN …. Julita (tengah) menyaksikan penyerahan van daripada Nakasuji (empat kiri) kepada Hee (empat kanan).






