Oleh FARDY BUNGGA
KOTA BELUD: Seorang lelaki yang disyaki mengalami gangguan mental ditahan selepas didakwa mengakibatkan beberapa insiden sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat di daerah ini.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Hussain berkata, individu berkenaan ditahan 10 Jun lalu selepas dilaporkan bertindak agresif sehingga menyebabkan kecederaan kepada orang awam serta kerosakan harta benda.
Katanya, bertindak atas maklumat, lelaki terbabit berjaya dikesan sebelum berjaya ditahan kira-kira jam 4 petang bagi tujuan keselamatan awam serta tindakan lanjut.
“Individu berkenaan kemudiannya dibawa ke Hospital Kota Belud untuk menjalani pemeriksaan dan rawatan perubatan sebelum dirujuk ke Bahagian Psikiatri, Hospital Mesra Bukit Padang, Kota Kinabalu bagi mendapatkan rawatan serta pemantauan lanjut.
“Hasil semakan mendapati individu tersebut mempunyai rekod rawatan kesihatan mental di Hospital Kota Belud dan Hospital Mesra Bukit Padang,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, semakan lanjut turut mendapati, individu terbabit tidak mempunyai waris terdekat yang boleh dipertanggungjawabkan untuk menjaga dan memantau keadaannya.
“Tindakan yang diambil oleh pihak polis adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 11, Akta Kesihatan Mental 2001 [Akta 615] yang memperuntukkan seseorang yang disyaki mengalami gangguan mental dan dipercayai boleh membahayakan dirinya sendiri, orang lain atau harta benda boleh diambil ke dalam jagaan dan dibawa untuk pemeriksaan perubatan dengan kadar segera.
Sehubungan itu, Shahrudin memberi jaminan aspek keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa menjadi keutamaan.
“PDRM akan terus mengambil langkah-langkah proaktif dan sewajarnya bagi memastikan keselamatan masyarakat setempat kekal terpelihara serta berada pada tahap yang terkawal,” katanya.

MENTAL …. Lelaki yang disyaki mengalami gangguan mental ditahan selepas menyebabkan beberapa insiden.








