Kecemerlangan sukan perlu seiringan dengan akademik – Victor

Oleh: John Tambanan


TAMBUNAN: Kecemerlangan dalam dunia sukan hendaklah seiringan dengan kecemerlangan akademik dan pembentukan akhlak yang baik, kata Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Dato’ Victor P. Paut
“Kita tidak mahu melahirkan atlet yang hanya hebat di gelanggang tetapi lemah dari segi disiplin dan nilai kehidupan.
“Kita harus melahirkan generasi yang seimbang, cemerlang dalam pelajaran sambil aktif dalam sukan dan mempunyai sahsiah yang terpuji selaras dengan aspirasi kependidikan Malaysia dan semangat Sabah Maju Jaya dan Malaysia Madani itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikan ketika merasmikan Kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Tambunan Kali Ke-58 di sini pada Jumaat.
Victor, yang juga Ketua Bahagian PGRS N39 Tambunan berkata, bersukan dan menyertai apa-apa kejohanan mampu membentuk jati diri, disiplin dan semangat juang yang tinggi di kalangan anak-anak khususnya pelajar sekolah kerana persaingan sebegini adalah platform asas bagi menjana sifat demikian secara semulajadi.
Katanya, di arena sukan sebegini, para peserta perlu berdepan dengan cabaran secara realiti dalam menentukan nasib diri dan rakan-rakan yang lain.
“Mereka akan belajar bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah kerana setiap kejayaan itu harus di bayar dengan kesungguhan dan pengorbanan.
Tanpa latihan yang berterusan, tanpa disiplin yang tinggi dan tanpa semangat juang yang jitu, kejayaan tidak mungkin akan tercapai,” katanya.
Menurut Victor, daerah Tambunan juga terkenal dengan bakat-bakat sukan yang hebat yang pernah mengharumkan nama daerah ini di persada tanahair, antaranya mediang Datuk Paulus Jimit, legenda bintang bola sepak Negeri Sabah.
“Saya yakin, melalui kejohanan seperti ini, kita sedang menyaksikan kelahiran bintang-bintang sukan masa depan yang baharu yang suatu hari nanti, akan membawa nama Sabah dan Malaysia ke pentas yang lebih tinggi,” katanya.

SYABAS …. Victor diringi jawatankuasa penganjur menyampaikan sijil dan tropi kepada pemenang kategori sekolah rendah Kejohanan MSSD Tambunan Kali Ke-58.