KES DENGGI MENINGKAT DI SELURUH NEGARA

Oleh FARDY BUNGGA


KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merekodkan peningkatan sebanyak 20.7 peratus kes denggi iaitu daripada 27,640 kes pada 2025 kepada 33,367 kes dalam tempoh yang sama pada tahun ini.
Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 15,422 kes diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 6,107 kes manakala Johor di tempat ketiga dengan 3,556 kes.
Sabah yang mendapat tempat keempat turut berada pada tahap membimbangkan apabila sebanyak 2,866 kes direkodkan dengan peningkatan 50.4 peratus berbanding 1,905 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, situasi itu memerlukan tindakan segera dan komitmen berterusan daripada semua pihak memandangkan denggi masih menjadi ancaman kesihatan awam yang serius di negara ini.
Katanya, kebanyakan kes denggi boleh dicegah sekiranya masyarakat memainkan peranan aktif dalam menghapuskan tempat pembiakan nyamuk Aedes, khususnya di kawasan perumahan dan persekitaran komuniti.
“Di Sabah saja sebanyak 2,866 kes denggi telah kita laporkan berbanding 1,905 kes pada tempoh yang sama tahun lalu peningkatan tinggi 50.4 peratus dan lima daerah yang telah saya sebutkan Kota Kinabalu, Tawau, Sandakan, Penampang dan juga Putatan.
“Jumlah kematian akibat kes denggi juga menunjukkan peningkatan iaitu 23 kematian tahun ini berbanding 16 kematian tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Denggi ASEAN, Hari Malaria Sedunia dan Gotong-Royong Mega Peringkat Kebangsaan bersempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2026, di Dewan Komuniti Manggatal, pada Ahad.
Dzulkefly berkata, KKM akan terus memperkukuh usaha pencegahan dan kawalan denggi melalui inisiatif Komuniti Bebas Denggi (KomBeD) yang memberi penekanan kepada perubahan tingkah laku dan penglibatan masyarakat secara menyeluruh.
Katanya, antara strategi utama yang dilaksanakan ialah memperkasakan aktiviti gotong-royong, menggalakkan amalan 3R, meningkatkan pengurusan sisa pepejal, memperbanyakkan program penghijauan serta mempertingkatkan pemantauan dan pengawasan entomologi bagi mengesan pembiakan nyamuk Aedes.
“Pertama adalah seperti yang saya sebutkan intervensi ataupun environmental intervention, kedua adalah komuniti empowerment dan ketiga adalah pendekatan seluruh negara whole of society seluruh rakyat serta penglibatan biosains entomologi kita dengan entomological surveillance,” katanya.
Sehubungan itu, Dzulkefly menegaskan, KKM sentiasa menyeru seluruh rakyat agar terus meningkatkan kesedaran dan mengambil langkah pencegahan secara konsisten bagi mengekang penularan denggi serta melindungi kesihatan masyarakat.
Katanya, KKM juga komited untuk membina komuniti yang lebih bersih, hijau, sihat dan berdaya tahan demi kesejahteraan rakyat dan negara.

Dzulkefly meletakkan plak sebagai simbolik perasmian Sambutan Hari Denggi ASEAN, Hari Malaria Sedunia dan Gotong-Royong Mega Peringkat Kebangsaan bersempena Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) 2026.