KOTA KINABALU: Persatuan Wartawan Kota Kinabalu (KKJA) akan menganjurkan Kempen Derma Darah Tahunan pada 19 Julai 2026.
Program kali kelima anjuran KKJA itu dianjurkan bertujuan membantu menambah bekalan darah di Bank Darah Hospital Queen Elizabeth (HQE) itu dijadualkan berlangsung di ruang atrium Pusat Beli-belah ITCC dari jam 10 pagi hingga 5 petang.
Pengerusi KKJA, Datuk Jimmy Goh berkata, program yang dianjurkan dengan kerjasama Bank Darah HQE itu menyasarkan kutipan sebanyak 100 pain darah.
“Kami berharap orang ramai akan tampil memberikan sokongan kepada kempen derma darah ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh daripada pihak hospital, bekalan darah di bank darah sentiasa berada pada tahap yang rendah.
Katanya, pesakit memerlukan pemindahan darah dalam pelbagai keadaan seperti kemalangan, kecederaan, talasemia dan penyakit lain.
“Bank darah memerlukan sumbangan berterusan daripada orang ramai. Setiap titisan darah mampu menyelamatkan nyawa,” kata Goh.
Beliau berkata, sebagai sebuah organisasi yang bukan sahaja mengambil berat mengenai kebajikan ahlinya, KKJA juga ingin menyumbang kembali kepada masyarakat melalui penganjuran program kebajikan.
Katanya, mereka yang berjaya menderma darah akan menerima beg cenderamata sebagai penghargaan atas sumbangan murni itu.
Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Pengerusi Penganjur, Yap Siong Han di talian +60 16-802 2104.-John Tambanan

Jimmy Goh










