KENINGAU: Cadangan mewajibkan semua parti politik meletakkan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) dilihat sebagai langkah penting ke arah memperkukuh demokrasi negara serta memastikan suara wanita lebih diwakili dalam proses membuat keputusan.
Menyuarakan sokongan terhadap cadangan yang dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Mengenai Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat itu, Pengarah Urusan Academy di Keningau, Faridah Alexius Muri Gulim Adau berkata, usaha berkenaan perlu diberi perhatian serius kerana ia menyentuh soal representasi dan keseimbangan dalam struktur kepimpinan negara.
Menurutnya, wanita hari ini bukan lagi sekadar penyokong di belakang tabir, sebaliknya telah membuktikan kemampuan sebagai pemimpin, pentadbir, pendidik, usahawan dan penggerak pembangunan masyarakat.
“Sudah tiba masanya lebih ramai wanita diberikan peluang berada di meja membuat keputusan supaya pandangan, pengalaman dan aspirasi mereka turut membentuk dasar yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat.
“Demokrasi yang benar-benar inklusif tidak boleh bergantung kepada penyertaan satu kelompok sahaja, sebaliknya memerlukan penglibatan wanita secara lebih bermakna dalam institusi politik dan pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Faridah, yang juga tokoh pendidikan serta aktivis sosial yang aktif memperjuangkan pembangunan luar bandar dan pendidikan serta latihan teknikal dan vokasional (TVET) berkata, sasaran minimum 30 peratus wanita tidak seharusnya dilihat sebagai soal kuota semata-mata, tetapi sebagai usaha memperkukuh sistem demokrasi yang lebih matang dan inklusif.
Beliau berkata, penglibatan wanita perlu diperluaskan bukan sahaja dalam pencalonan pilihan raya, malah dalam pelantikan ke jawatan strategik di peringkat kerajaan dan pentadbiran.
Katanya, Sabah sendiri telah menunjukkan perkembangan positif dalam memperkasakan kepimpinan wanita apabila Datuk Julita Majungki memegang jawatan menteri penuh dalam Kabinet Negeri sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, selain Datuk Rina Jainal yang berkhidmat sebagai Pembantu Menteri di kementerian sama.
Menurutnya, pencapaian lebih membanggakan dapat dilihat dalam perkhidmatan awam negeri apabila kira-kira 50 peratus jawatan ketua jabatan di Sabah kini diterajui oleh wanita.
Beliau berkata, antara contoh yang boleh dibanggakan ialah Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Maria Suleiman; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah, Haslina Ismail; Pengarah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah, Emas Sanjongan Datu Okar serta Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Sabah, Nadzerah Abdullah.
“Ini membuktikan wanita bukan sahaja mampu memimpin, malah telah menunjukkan prestasi cemerlang dalam pelbagai bidang pentadbiran dan pembangunan. Apabila peluang diberikan secara adil, mereka mampu menyumbang secara signifikan kepada kemajuan negeri dan negara,” katanya.-John Tambanan

Foto – Faridah Alexius





