Media perkukuh penyampaian maklumat kerajaan, Mohd Ishak

KOTA KINABALU: Kerjasama antara kerajaan dan organisasi media penting bagi memastikan penyampaian dasar, program pembangunan serta inisiatif kerajaan dapat disalurkan kepada rakyat secara pantas, tepat dan berwibawa, kata Pembantu Menteri Kewangan, Dato’ Sr Mohd Ishak Ayub.
“Saya mengalu-alukan sebarang perbincangan termasuk perbincangan daripada pihak pengurusan Breeze Management mengenai peranan strategik media dalam membantu kerajaan menyampaikan maklumat yang tepat dan berkesan kepada masyarakat,” katanya, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor.
Beliau berkata demikian semasa menerima kunjungan hormat pengurusan Breeze Management di Pejabat Pembantu Menteri Kewangan, Menara Kinabalu, disini hari ini.
Kunjungan hormat itu yang ketuai oleh Pengasas serta Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif ( CEO) Breeze Magazine, Mohammad Iskandar Shah Ali itu memfokuskan perbincangan kepentingan media sebagai rakan strategik dalam meningkatkan kefahaman masyarakat terhadap dasar kerajaan, di samping membantu mengekang penyebaran maklumat tidak sahih.
Mohd Ishak turut merakamkan penghargaan kepada pihak Breeze Management atas kesudian mengadakan kunjungan hormat tersebut dan berharap kerjasama yang terjalin akan terus diperkukuh demi memastikan penyampaian maklumat kerajaan yang telus, berkesan dan diyakini rakyat.-John Tambanan.

Mohd Ishak (tengah), menerima cenderahati daripada Mohd Iskandar sempena kunjungan hormat pihak pengurusan majalah itu di pejabat beliau. Turut hadir wakil pengurusan Breeze Magazine.