Oleh JOHN TAMBANAN
KOTA MARUDU: Kerajaan Negeri terus komited memperkukuh pembangunan sukan sekolah sebagai platform mencungkil bakat atlet muda serta membentuk generasi yang berdisiplin, berdaya saing dan seimbang selaras dengan aspirasi pendidikan negara.
Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib berkata, kejohanan sukan di peringkat sekolah bukan sekadar medan pertandingan, malah menjadi asas penting dalam melahirkan atlet berpotensi mengharumkan nama Sabah dan Malaysia di pentas antarabangsa.
“Kecemerlangan murid hari ini tidak lagi diukur berdasarkan pencapaian akademik semata-mata. Sebaliknya, kita mahu melahirkan generasi yang seimbang dari aspek Jasmani, Emosi, Rohani dan Intelek (JERI), dengan sukan menjadi antara wahana terbaik membentuk sahsiah, disiplin serta daya tahan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Justinus Jalang, pada Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kota Marudu 2026, di sini.
James berkata, pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan (1M1S) akan terus diperkasakan bagi memastikan setiap murid, tanpa mengira latar belakang atau lokasi, berpeluang menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan.
Beliau turut menegaskan pembangunan sukan perlu bergerak seiring kemajuan sains, teknologi dan inovasi menerusi penerapan elemen sains sukan, pemakanan, psikologi sukan, analisis prestasi serta teknologi latihan bagi meningkatkan prestasi atlet.
Katanya, usaha itu turut disokong melalui Landskap Baharu Jabatan Pendidikan Negeri Sabah yang memberi penekanan terhadap kesaksamaan peluang pendidikan dan pembangunan bakat antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Cabaran geografi Sabah tidak boleh menjadi penghalang kepada kejayaan anak-anak kita. Sebaliknya, daerah seperti Kota Marudu mempunyai potensi besar melahirkan atlet berbakat yang mampu bersaing di peringkat negeri, kebangsaan dan antarabangsa,” katanya.
Dalam pada itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Marudu, jawatankuasa pengelola, guru, jurulatih, pengetua, guru besar, ibu bapa serta semua pihak yang memainkan peranan penting dalam pembangunan sukan sekolah.
Beliau turut menggesa atlet muda supaya bertanding dengan semangat kesukanan, berintegriti serta menghormati peraturan pertandingan.
“Saya yakin suatu hari nanti akan lahir daripada kejohanan seperti ini atlet yang mampu mengharumkan nama Kota Marudu, Sabah dan Malaysia di pentas Sukan SEA, Sukan Asia mahupun Sukan Olimpik,” katanya.
Terdahulu, Justinus mewakili James merasmikan Kejohanan Olahraga MSSD Kota Marudu 2026.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Kota Marudu, Halim Bidin @ Bibin; Pengetua SMK Bandau, Richard Samie Kiou; pemimpin masyarakat, guru, ibu bapa serta atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan itu.

Caption: Justinus bersalaman dengan kontinjen yang mengambil bahagian pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Daerah (MSSD) Kota Marudu 2026.





