Remaja maut, motosikal dirempuh kenderaan sebelum terbakar

Oleh FARDY BUNGGA


PUTATAN: Seorang remaja maut selepas motosikal ditunggangnya dirempuh kenderaan sebelum terbakar dalam kejadian di Jalan Putatan, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Fandi Jame, 19, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Musran Jabri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 4.45 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera terus dikerah ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tiga kilometer dari BBP Putatan.
“Setibanya di lokasi, motosikal mangsa didapati terbakar 100 peratus akibat di langgar sebuah kenderaan.
“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dari jentera.
“Terdapat seorang mangsa terlibat meninggal dunia di lokasi kejadian dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media, semalam.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan menyeluruh di sekitar kawasan bagi memastikan tiada lagi bahaya lain wujud.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.17 pagi,” katanya.

Keadaan motosikal mangsa yang terbakar sepenuhnya.