Oleh FARDY BUNGGA
KUDAT: Mayat seorang lelaki dewasa yang masih belum dikenal pasti identitinya ditemukan terapung di kawasan Jeti Ikan Angkasa Baru, di sini, pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kudat berkata, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 10.50 pagi berhubung penemuan mayat berkenaan.
Susulan itu katanya, sepasukan anggota dan pegawai dikerah bergegas ke lokasi bagi menjalankan siasatan.
“Hasil pemeriksaan di lokasi mendapati mayat seorang lelaki dewasa yang dianggarkan berusia 30-an ditemui terapung di permukaan laut berhampiran sebuah kapal nelayan yang berlabuh di hadapan jeti berkenaan.
“Mayat berjaya dibawa keluar dari laut kira-kira jam 11 pagi dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Pasukan Polis Marin (PPM),” katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang turut hadir membantu di lokasi.
Katanya, mangsa berpakaian baju-T berlengan pendek berwarna hitam dan seluar pendek berwarna hitam.
“Hasil soal siasat terhadap pengurus dan pekerja di jeti berkenaan mendapati tiada individu yang mengenalinya dan mangsa juga bukan pekerja di kawasan itu.
“Selain itu, pemeriksaan fizikal turut mendapati tiada sebarang kesan kecederaan pada badan mangsa dan siasatan di lokasi tidak menemukan sebarang unsur jenayah,” katanya.
Haris berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Unit Forensik, Hospital Kudat untuk proses bedah siasat dan tindakan lanjut bagi mengenal pasti identiti serta punca kematian.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan identiti mangsa atau kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kudat atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Mayat lelaki ditemui terapung di kawasan Jeti Ikan Angkasa Baru.





