SEMPORNA: Pertubuhan Kreatif Seni Bajau Semporna (PKSBS) menyeru semua pihak termasuk penganjur, jurutari, koreografer, peserta pertandingan, penari serta pencinta budaya Bajau agar mengembalikan pemakaian gandik atau mahakutta’/jabang mengikut adat warisan asal masyarakat Bajau.
Presiden PKSBS, Nazmahwati Walli, menegaskan isu tersebut bukan sekadar berkaitan fesyen atau kecantikan, tetapi menyentuh maruah, identiti dan keaslian warisan budaya yang diwarisi turun-temurun.
Beliau menjelaskan, kebelakangan ini semakin ramai penari dan peserta pertandingan mengenakan gandik di atas kepala seperti mahkota moden, sedangkan dalam adat wanita Bajau, gandik dipakai di bahagian hadapan dahi.
“Warisan tidak sepatutnya diubah hanya kerana mengikut trend atau kelihatan moden. Keaslian budaya perlu didahulukan daripada populariti,” katanya.
Nazmahwati berkata, PKSBS melaksanakan pelbagai usaha pendidikan termasuk menghasilkan poster panduan, mengadakan kempen kesedaran serta memasukkan pemakaian gandik yang betul sebagai silibus di Akademi Seni I-Klinik Igal PKSBS.
Namun, beliau mengakui masih berasa sedih apabila melihat sebahagian penari, peserta pertandingan dan juga pemegang gelaran mengenakan gandik dengan cara yang tidak menepati adat asal.
“Apabila masyarakat luar melihat persembahan kita, mereka akan menganggap itulah budaya Bajau yang sebenar.
“Jika kita sendiri mengubah identiti warisan, generasi akan datang mungkin tidak lagi mengetahui bentuk asal budaya nenek moyang,” ujarnya.
Nazmahwati turut menyeru agar semua pihak termasuk penganjur pertandingan kebudayaan, panel penilai, jurutari, guru dan institusi berkaitan memainkan peranan dalam memastikan aspek pemakaian warisan diberi perhatian sama penting seperti tarian, muzik dan persembahan.
Beliau menegaskan, pemeliharaan budaya tidak bermaksud menolak kreativiti, tetapi setiap inovasi hendaklah menghormati identiti asal sesuatu warisan.
“Budaya boleh berkembang, tetapi identiti asal jangan sampai hilang,” katanya lagi.
Nazmahwati berharap kempen kesedaran mengenai pemakaian gandik/mahakutta’/jabang dapat menjadi gerakan pendidikan budaya agar generasi muda terus mengenali, menghormati dan mempertahankan warisan Bajau yang asli.
“Warisan bukan sekadar dipakai. Warisan perlu difahami, dihormati dan dipelihara,” tegasnya.

Kembalikan warisan asal.. Penari yang memakai gandik mengikut warisan Bajau yang asli.

CANTIK…Kelihatan penari penari Bajau yang cantik memakai gandik dalam satu majlis baru-baru ini.




