KOTA KINABALU: Kerajaan digesa mengkaji semula dasar pemberian subsidi sektor pengangkutan dengan memasukkan bas pelancong sebagai penerima manfaat.
Wakil pengusaha bas pelancong, Datuk Mohd Nasser Migin menegaskan bahawa ketiadaan subsidi menyebabkan kos operasi bas pelancong meningkat mendadak, sekali gus menjejaskan sumber pendapatan pengusaha dan menurunkan daya saing industri pelancongan negara.
“Sepatutnya bas pelancong juga diberikan subsidi sama seperti bas pengangkutan awam, lori dan kenderaan komersial lain.
“Tanpa sokongan ini, pengusaha terpaksa menanggung beban kos bahan api dan penyelenggaraan yang tinggi, yang akhirnya menjejaskan kelangsungan perniagaan,” katanya.
Menurut statistik Kementerian Pelancongan, Malaysia menerima lebih 20 juta pelancong antarabangsa pada tahun 2025, dengan sumbangan lebih RM70 bilion kepada ekonomi negara.
Di Sabah sahaja, sektor pelancongan menyumbang hampir RM8 bilion setahun, menjadikan ia antara penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negeri.
Mohd Nasser menekankan bahawa bas pelancong memainkan peranan penting dalam menggerakkan pelancong ke destinasi utama seperti Taman Laut Tun Sakaran, Gunung Kinabalu, dan Kampung Budaya Mari-Mari.
Tanpa subsidi, kos perjalanan meningkat dan pakej pelancongan menjadi kurang kompetitif berbanding negara jiran.
Beliau memberi contoh bahawa kos bahan api untuk sebuah bas pelancong bersaiz besar boleh mencecah RM1,000 bagi satu perjalanan jarak jauh, tidak termasuk kos penyelenggaraan dan gaji pemandu.
“Tanpa subsidi, margin keuntungan semakin mengecil dan ada pengusaha terpaksa mengurangkan jumlah perjalanan atau menaikkan harga pakej, yang akhirnya membebankan pelancong.
“Jika keadaan ini berterusan, bukan sahaja pengusaha bas pelancong terjejas, malah keseluruhan ekosistem pelancongan – termasuk hotel, restoran, dan peniaga kecil – akan turut menerima kesan,” jelasnya.
Beliau berharap kerajaan dapat menilai semula mekanisme subsidi agar lebih inklusif, dengan mengambil kira kepentingan sektor pelancongan sebagai salah satu tonggak utama pembangunan ekonomi negara.
“Pelancong adalah penyumbang besar kepada ekonomi. Jika pengangkutan mereka tidak diberi sokongan sewajarnya, kita berisiko kehilangan daya tarikan sebagai destinasi pilihan,” tegasnya.

Mohd Nasser Migin.





