TAMBUNAN: Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) Tambunan, Dr. Rockey Jerome Budin, menafikan dakwaan bahawa kepimpinan baharu PBS Tambunan ‘tunduk’ kepada Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) susulan kunjungan hormat beliau kepada Ketua Bahagian PGRS Tambunan, Datuk Victor P. Paut.
Beliau berkata, dakwaan yang tular itu tidak berasas, malah merupakan serangan politik yang sengaja dimainkan bagi mewujudkan persepsi negatif terhadap kepimpinan baharu PBS Tambunan.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa PBS Tambunan tunduk kepada PGRS. Tuduhan itu tidak berasas dan jelas bermotifkan politik untuk melemahkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan baharu PBS Tambunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Sambutan Pesta Kaamatan dan Ramah Mesra Kampung Toboh, Tambunan, anjuran PGRS Cawangan Kampung Toboh yang disempurnakan oleh Datuk Victor.
Dr. Rockey berkata, sebagai parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS), hubungan baik antara PBS dan PGRS adalah selaras dengan semangat kerjasama dalam gabungan itu.
Menurutnya, kunjungan hormat selepas beliau dipilih sebagai Ketua Bahagian PBS Tambunan merupakan amalan biasa dalam politik, khususnya apabila berlaku perubahan kepimpinan.
“Apabila seseorang diberi mandat memimpin, menjadi tanggungjawabnya mengeratkan hubungan dengan semua rakan dalam gabungan. Itu adalah amalan politik yang matang dan profesional, bukannya tanda tunduk kepada mana-mana pihak,” katanya.
Beliau berkata, usaha memperkukuh hubungan antara parti-parti komponen GRS penting bagi memastikan kestabilan politik serta melancarkan agenda pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat, khususnya di Tambunan.
Katanya, kepimpinan baharu PBS Tambunan akan terus mempertahankan identiti, prinsip dan perjuangan parti di samping memperkukuh kerjasama strategik dengan semua parti komponen GRS.
Mengulas dakwaan yang tersebar di media sosial, beliau mengingatkan semua pihak supaya tidak menyebarkan fitnah atau memainkan naratif yang boleh mengelirukan rakyat.
Sebaliknya, katanya, fokus kepimpinan baharu PBS Tambunan adalah memperkukuh organisasi parti menerusi pendekatan PBS 2.0, memperkasa cawangan, menarik penyertaan generasi muda serta mengukuhkan kedudukan parti di Tambunan.
Beliau turut menyeru ahli PBS supaya terus bersatu, menolak politik fitnah dan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh parti sebagai persediaan menghadapi cabaran politik serta pilihan raya akan datang.-John Tambanan

Dr. Rockey






