PPM Rampas Isirung Kelapa Sawit Bernilai RM600,000.

Oleh FARDY BUNGGA


LAHAD DATU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah berjaya merampas isirung kelapa sawit (kernel) bernilai lebih RM600,000 dalam serbuan di sebuah premis di Jalan POIC, di sini, semalam.
Dalam operasi itu, polis turut berjaya merampas beberapa aset termasuk jentera berat yang digunakan untuk aktiviti berkenaan.
Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Amri Abd Rahman berkata, serbuan dijalankan hasil kerjasama strategik bersama MPOB Lahad Datu.
Katanya, usaha itu bagi membanteras kegiatan penyimpanan serta pengendalian isirung kelapa sawit yang melanggar peruntukan undang-undang.
“Semua isirung berkenaan dirampas untuk siasatan lanjut selepas dipercayai disimpan tanpa lesen sah.
 “Ketika serbuan dijalankan, beberapa pekerja turut dipercayai bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media.
Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998 (Akta 582).
“PPM Wilayah 4 Sabah akan terus memperkukuhkan kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam usaha membanteras kegiatan yang menyalahi undang-undang.
“Usaha ini juga bagi melindungi kepentingan industri komoditi negara,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Amri menegaskan, sepanjang tempoh Januari hingga Julai tahun ini, PPM Sabah merekodkan 11 kes di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998.
Katanya, semua kes berkenaan melibatkan nilai rampasan keseluruhan melebihi RM8.7 juta dan tangkapa  seramai 25 individu ditahan bagi membantu siasatan berkaitan kesalahan di bawah akta berkenaan.

DISITA …. Beberapa jentera berat yang disita untuk membantu siasatan lanjut.