KOTA KINABALU: Seramai 18,752 penduduk di Bahagian Kota Kinabalu menerima bantuan kebajikan bulanan membabitkan peruntukan keseluruhan RM48.62 juta sehingga Jun tahun ini.
Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Rina Jainal, berkata bantuan itu disalurkan menerusi lapan skim kebajikan di bawah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA).
Katanya, bagi bantuan kerajaan negeri, Skim Bantuan Am (SBAM) mencatat penerima tertinggi iaitu 6,489 orang, diikuti Skim Bantuan Anak Yatim (SBAY) seramai 640 orang.
“Bagi bantuan kerajaan Persekutuan pula, Bantuan Warga Emas (BWE) merekodkan jumlah penerima tertinggi iaitu 7,196 orang.
“Ia diikuti Bantuan Kanak-Kanak (BKK) seramai 1,402 penerima, Bantuan Penjagaan OKU Terlantar dan Pesakit Kronik (BPT) 1,538 penerima, Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) 910 penerima, Elaun Pekerja Orang Kurang Upaya (EPOKU) 569 penerima serta Bantuan Anak Pelihara (BAP) lapan penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik, Grace Lee Li Mei, pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Isnin.
Rina berkata, Kerajaan Negeri masih mengekalkan kadar bantuan kebajikan negeri antara RM200 hingga RM350 sebulan.
Menurutnya, sebarang cadangan menaikkan kadar bantuan bergantung kepada kemampuan kewangan kerajaan negeri, manakala kenaikan bantuan kebajikan Persekutuan tertakluk kepada pengumuman Belanjawan Persekutuan oleh Perdana Menteri.
Dalam masa sama, katanya, kerajaan negeri dan Persekutuan turut meningkatkan syarat kelayakan pemohon berdasarkan Panduan Garis Kemiskinan (PGK) semasa.
“Pendapatan Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak dipertimbangkan dinaikkan daripada RM1,198 pada 2025 kepada RM1,236 pada tahun ini, manakala pendapatan per kapita meningkat daripada RM322 kepada RM348.
“Langkah ini membolehkan lebih ramai golongan yang benar-benar memerlukan menikmati bantuan kebajikan selaras dengan peningkatan kos sara hidup,” katanya.

RINA







