Kerajaan Negeri sasar capai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang tahun 2035

Oleh JOHN TAMBANAN


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri melalui pelaksanaan inisiatif strategik berkaitan tenaga boleh baharu di bawah Pelan Induk Tenaga Negeri iaitu Sabah Energy Roadmap and Master Plan 2040 (SE-RAMP 2040) telah menetapkan hala tuju yang jelas untuk meningkatkan kapasiti Tenaga Boleh Baharu dalam campuran kapasiti penjanaan negeri, dengan sasaran mencapai 50 peratus campuran kapasiti tenaga boleh baharu menjelang tahun 2035.
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkara, bagi tempoh sehingga tahun 2030, fokus Kerajaan Negeri adalah meningkatkan pembangunan kapasiti Tenaga Boleh Baharu secara berperingkat melalui penambahan kapasiti sumber solar berskala besar, hidroelektrik, tenaga angin, biojisim berserta teknologi penyimpanan tenaga (Energy Storage System) bagi memastikan kestabilan sistem grid untuk memitigasikan isu intermittency tenaga boleh baharu ini.
“Pada masa ini, kapasiti Tenaga Boleh Baharu di Sabah adalah sekitar 307 MegaWatt, iaitu bersamaan kira-kira 16 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri,” katanya pada hari pertama persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Isnin.
Beliau menjawab pertanyaan Dato’ Sri Arthur Joseph Kurup (Sook) yang bertanya, apakah hala tuju Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui menjelang tahun 2030 dan apakah projek strategik yang sedang dan akan dilaksanakan bagi merealisasikan sasaran tersebut.
Ketua Menteri berkata, bagi meningkatkan kapasiti tersebut, beberapa projek strategik sedang dan akan dilaksanakan, antaranya, Projek Solar Berskala Besar (Large-Scale Solar – LSS) berjumlah 450 MegaWatt, merangkumi 200 MegaWatt yang kini dalam peringkat pelaksanaan dan dijangka siap pada penghujung tahun 2026 hingga awal 2027, serta tambahan 250 MegaWatt yang sedang melalui proses bidaan dan disasarkan siap pada tahun 2028.
Projek Sistem Penyimpanan Tenaga Bateri (Battery Energy Storage System, BESS) berkapasiti 200 MegaWatt/ 400 MegaWatt jam yang kini dalam proses bidaan dan dijangka siap pada tahun 2028.
Projek penjanaan tenaga angin berkapasiti 100 MegaWatt yang dijangka siap pada tahun 2029; dan Projek Hidroelektrik Upper Padas berkapasiti 187 MegaWatt serta Projek Hidroelektrik Oriole Padas berkapasiti 162 MegaWatt yang dijangka siap pada tahun 2030.
“Dengan pelaksanaan projek-projek tersebut secara berfasa, kapasiti penjanaan Tenaga Boleh Baharu di Sabah dijangka meningkat kepada sekitar 1,200 MegaWatt menjelang tahun 2030, bersamaan kira-kira 37 peratus daripada campuran kapasiti penjanaan negeri.
“Selanjutnya, Kerajaan Negeri yakin sasaran 50% pada tahun 2035 dapat dicapai melalui projek-projek Tenaga Boleh Baharu yang telah dikenal pasti sambil memastikan bekalan elektrik Sabah kekal mencukupi, stabil dan berdaya harap serta mampu milik selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negeri,” katanya.

SIDANG DUN …. Hajiji bersama Timbalan-Timbalan Ketua Menteri dan Pembantu-Pembantu Menteri di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pada Isnin.